Berita Utama

Ibadah korban di bumi anbia, Aman Palestin sasar penyertaan RM9 juta

Daging korban berkualiti akan diedar kepada rakyat Palestin, Syria dan Yaman

BANGI, 18 Syawal 1443H, Khamis – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) melancarkan Kempen Ibadah Korban di Anbia sebagai alternatif kepada seluruh umat Islam yang ingin melaksanakan ibadah korban di luar negara khususnya di Palestin, Syria dan Yaman. 

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Berhad, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, kempen tersebut menyasarkan penyertaan sebanyak RM9 juta tahun ini.

Beliau berkata, Aman Palestin adalah sebuah NGO yang sentiasa optimis dalam melaksanakan ibadah korban di bumi para anbia.

Bahkan, pengalaman selama 16 tahun sudah cukup untuk memastikan setiap penyertaan ibadah korban para peserta dilaksanakan dengan lancar serta dijamin memenuhi keperluan syarak. 

“Aman Palestin menyasarkan lebih banyak penyertaan ibadah korban di Palestin, Syria dan Yaman pada tahun ini, kerana ia merupakan ibadah Sunat Muakkadah (Sunat yang dituntut) sebagai satu tanda ketaatan kepada Allah SWT, selain sebagai tanda sokongan padu kepada saudara-saudara kita yang sentiasa memerlukan. 

“Daging haiwan ibadah korban itu dapat diberikan kepada seluruh warga Palestin, Syria dan Yaman yang sememangnya sukar untuk mendapatkan bekalan daging sebagai juadah makanan mereka.

 

“Dengan sasaran penyertaan sebanyak RM9 juta, Aman Palestin yakin dengan jumlah ini kita mampu memberikan manfaat yang lebih banyak buat mereka yang berada di Palestin, Syria dan Yaman. Tidak dilupakan juga buat warga Palestin yang berada di Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhd Farhan berkata, haiwan korban yang akan disediakan adalah haiwan korban yang mempunyai kualiti yang terbaik dan sesuai untuk dijadikan haiwan korban.

Dengan pelaksanaan misi ini, beliau berkata, Aman Palestin sedaya upaya memastikan setiap ibadah korban yang disertai oleh masyarakat dapat dilaksanakan dengan lancar.

Melalui kempen ini juga, Aman Palestin akan membawa masyarakat dan para peserta ibadah korban, sama-sama menghayati ibadah korban yang mereka laksanakan melalui penghantaran Misi Kemanusiaan Ibadah Korban ke Palestin, Syria, Lubnan dan Yaman.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button