Berita Utama

JAKIM tak kompromi isu sijil halal

Pensijilan halal Malaysia antara dihormati seluruh dunia

BUKIT GANTANG, 18 Syawal 1443H, Khamis – Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) tidak akan berkompromi dengan pensijilan halal dan akan bertindak sewajarnya, apabila menerima maklumat termasuk menggantung kilang atau loji pembuatan makanan untuk siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, tindakan itu perlu, memandangkan pensijilan halal Malaysia antara yang dihormati di seluruh dunia.

“Kerana itu kita serius dan tidak main-main mengenai halal. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa baru-baru ini Jakim menggantung sebuah dari 16 loji yang ada di bawah pemantauan Jakim untuk siasatan,” katanya dalam sidang media pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) mukim Trong dekat sini hari ini.

Pada 14 Mei, Jakim menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia berkuat kuasa serta merta, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata pada masa sama Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA), selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu, akan diberi surat tunjuk sebab dan berdepan dibatalkan status badan pensijilan halal, sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Tindakan itu dibuat selepas seorang lelaki dikenali sebagai ‘the Hood Man’ atau Abdullah, membuat  pendedahan bahawa loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia didakwa tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Idris berkata, pihaknya akan menghubungi orang yang membuat laporan tersebut untuk mendapatkan maklumat lengkap.

“Penyebar video itu menggunakan nama samaran Abdulllah. Dia ada nama lain, dia dari Somalia. Kita juga sedang menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengenai jemaah haji, Idris berkata Tabung Haji telah membuat panggilan kedua pada 10 Mei lalu, untuk jemaah yang layak ke Tanah Suci nanti.

“Bagaimanapun jumlah panggilan itu saya tidak pasti, kerana panggilan itu berdasarkan mereka yang menolak tawaran daripada panggilan pertama yang ditutup pada 9 Mei lalu,” katanya.

Menurutnya, penerbangan pertama yang dijangka pada 31 Mei ini kemungkinan akan ditunda antara 3 hingga 4 Jun depan, kerana kekurangan pesawat dan perkara ini akan dikemas kini kemudian.

Malaysia memperoleh kuota 14,306 orang untuk menunaikan haji tahun ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button