Berita Utama

Mansuh AP bahan makanan solusi cetek

Kerajaan patut buat perubahan drastik terhadap polisi keselamatan makanan negara

BANGI, 18 Syawal 1443H, Khamis – Langkah kerajaan memansuhkan keperluan permit import (AP) terhadap bahan makanan tidak akan menyelesaikan isu kenaikan harga disebabkan penguncupan bekalan dunia.

Sebaliknya, keputusan itu hanya mampu menyelesaikan salah satu faktor kenaikan harga bahan makanan di Malaysia kerana dimonopoli kartel tertentu yang dipercayai kepentingannya dilindungi oleh kerajaan.

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Lukman Al Hakim Mohamad berkata, isu kekurangan bekalan dari negara luar yang disebabkan peperangan, ketidakstabilan politik, kemelesetan ekonomi dan perubahan iklim dunia tetap tidak akan selesai.

Meskipun faktor itu di luar kawalan kerajaan, beliau berkata, kerajaan sepatutnya membuat perubahan drastik terhadap polisi keselamatan makanan negara.

“Saya tahu ia tindakan tidak populis, mengambil masa dan tenaga yang lama untuk dilaksanakan tapi inilah solusi jangka masa panjang yang rakyat perlukan.

“Bukannya pengumuman solusi cetek yang dibuat dalam satu mesyuarat Kabinet secara tergesa-gesa. Pengumuman PM bernada marah, malas layan dan lepas tangan. Ia membawa konotasi, ‘Pandai-pandailah korang semua!’

“Hakikatnya kita tidak kekurangan tanah, tenaga kerja petani dan penternak, infrastruktur dan dana kerajaan untuk memastikan sumber makanan asas dibekalkan secara domestik tanpa import,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pun begitu, beliau berkata, wawasan ini tidak mampu dijayakan sekiranya tiada kehendak politik.

“Biarlah mengambil masa 10 tahun sekalipun yang penting kita ada sasaran dan bergerak secara konsisten bagi mencapainya.

“Isu sekarang ialah kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan konkrit bagi mencapai 100 peratus Self Sufficiency Ratio (SSR) bagi semua makanan asas rakyat Malaysia.

“Kita juga berhadapan dengan masalah ketirisan dana, kebobrokan dalam pengurusan serta ketidakstabilan politik yang menyebabkan para ahli politk sibuk berpolitik dan tertinggal agenda membangun dan mempertahankan negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan keputusan memansuhkan keperluan AP terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta dibuat bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Dengan pemansuhan keperluan berkenaan, katanya, sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini sebagai antara usaha menangani isu keselamatan makanan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button