Berita Utama

Murid perempuan Tahun Empat maut digilis lori treler

Motosikal ditunggang ibu dipercayai hilang kawalan

BUKIT MERTAJAM, 18 Syawal 1443H, Khamis – Seorang murid perempuan Tahun Empat maut selepas motosikal dinaiki bersama ibunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Jalan Kampung Baru, Alma, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Shafee Abd Samad berkata, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang membonceng motosikal itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 1.45 tengah hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku motosikal yang ditunggang ibu kanak-kanak itu hilang kawalan, menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh di atas jalan raya.

“Wanita berusia 30-an itu sempat menyelamatkan diri sebaik terjatuh manakala anaknya yang membonceng, digilis oleh lori treler yang datang dari arah sama, dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat, manakala ibunya yang mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan dirawat di hospital sama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button