Berita Utama

Tahniah rakyat Malaysia: KJ

Tingkah laku rakyat sangat baik dalam fasa peralihan ke endemik

KUALA LUMPUR, 18 Syawal 1443H, Khamis – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana mengamalkan tingkah laku yang baik dalam fasa peralihan ke endemik.

Beliau berkata, ini sekali gus membuktikan bahawa rakyat mempunyai kemampuan untuk menjayakan fasa peralihan ke endemik ini dan mereka masih patuh dengan prosedur operasi standard dalam mengekang penularan COVID-19.

“Kita lihat dari segi tingkah laku rakyat Malaysia sangat baik dalam fasa peralihan ke endemik, apabila berada di kawasan terbuka atau di luar masih lagi pakai pelitup muka.

“Ini bermakna rakyat Malaysia sudah tahu macam mana nak ‘hidup’ dengan COVID-19. Mereka juga tahu sekiranya ada gejala, tidak keluar, tidak campur atau mereka akan mengasingkan diri,” katanya selepas merasmikan persidangan Hari Asma Sedunia 2022 di sini hari ini.

Khairy diminta mengulas mengenai faktor jumlah kes COVID-19 yang dilihat masih terkawal sejak kebelakangan ini meskipun dijangka meningkat selepas musim perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata, dengan pematuhan yang baik dalam kalangan rakyat, negara ini tidak perlu lagi menguatkuasakan undang-undang seperti mengeluarkan notis kompaun dan sebagainya.

“Saya nampak berbanding dengan negara lain, mungkin mereka lebih longgar daripada segi SOP dan pematuhan terhadap SOP mereka tetapi kita tengok semua (rakyat Malaysia) pakai pelitup dan tiada apa-apa masalah. Ini adalah satu ‘perisai’ penting,” katanya.

Beliau juga berkata, jumlah pemberian vaksinasi yang tinggi juga merupakan faktor yang membantu dalam mengawal kes jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Ini bukanlah sangat soal jumlah kes tetapi lebih kepada kesan yang buruk daripada COVID-19 dan vaksinasi ini membantu mengurangkan kesan yang buruk.

“Kita tengok sekarang ini pun hospital kita tidaklah penuh dengan kes COVID-19. Banyak kes lain dapat kita selesaikan sekarang dan bagi tumpuan (kes) asma dan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang lain. Jadi, ini saya lihat adalah kejayaan rakyat Malaysia,” katanya.

Mengulas berhubung isu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), Khairy berkata, semua pihak terutamanya ibu bapa perlu diberi kesedaran serta pengetahuan berkaitan penyakit tersebut.

“Apa yang penting adalah penerangan diberikan kepada ibu bapa apakah itu HFMD, gejalanya dan apakah langkah-langkah apabila anak mereka dikesan ada tanda-tanda HFMD,” katanya menambah golongan ibu bapa perlu meningkatkan kesedaran anak mereka mengenai kebersihan kendiri dalam mencegah dijangkiti penyakit itu.

“Pemilik premis terutama taska dan tadika supaya mereka sentiasa melakukan pembersihan terhadap premis dan mesti dibuat setiap hari supaya semua permukaan dapat dicuci dan bersih,” katanya selain memberitahu Pejabat Kesihatan Daerah juga perlu memainkan peranan dalam pemberitahuan tentang kawasan titik panas kes HFMD. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button