Berita Utama

Kerusi majoriti Melayu: Ada kepentingan punca parti politik tak berani bertegas

Hanya pemimpin Melayu akan pertahan kedudukan Islam di negara ini

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Syawal 1443H, Jumaat – Demi menjaga kepentingan, tiada parti politik Melayu yang berani menegaskan bahawa kawasan majoriti Melayu harus ditandingi oleh kaum itu sahaja.

Keadaan ini nyata mengecewakan orang Melayu yang melihat parti politik terbabit tidak berani mengambil keputusan dianggap sebagai penting.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi bagaimanapun memuji ketegasan BERJASA berhubung isu kerusi majoriti Melayu.

Katanya, sebagai sebuah negara beridentitikan Islam adalah wajar bagi rakyat mengutamakan pemimpin dalam kalangan Melayu untuk diangkat sebagai tempat bergantung.

“Hasrat BERJASA untuk bertanding dan menguasai semula kawasan yang majoriti Melayu sangat dialu-alukan, bahkan keberanian inilah yang diharapkan oleh orang Melayu terhadap parti-parti politik.

“Setakat ini, tiada lagi parti Melayu lain yang sanggup berterus-terang dalam hal ini kerana masing-masing ingin menjaga kepentingan sendiri, sanggup menggadaikan kepentingan orang Melayu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Lukman Al Hakim Mohamad yang menyatakan kesediaan parti itu bertanding di mana-mana kerusi terutama di kawasan majoriti Melayu.

Selain itu, Ustaz Mohd Noor Azib melahirkan keyakinan, pemimpin Melayu Islam mampu memahami rakyat dan mencari solusi terbaik dalam menangani pelbagai permasalahan.

“Pemimpin Melayu mempunyai aspirasi rakyat dan tidak sanggup lihat keperitan rakyat, selain lebih memahami keperluan masyarakat terutamanya golongan Melayu.

“Sebagai pemimpin Melayu mesti mereka juga akan mempertahankan dan mengutamakan kedudukan Islam di negara ini,” katanya lagi.

Justeru, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat membangunkan kekuatan orang Melayu, ISMA akan sentiasa menyokong usaha berani BERJASA.

Bahkan, tegas beliau, ISMA berulang kali melaungkan slogan undilah calon muslim berwibawa sebagai saranan ketika pilihan raya.

“Apabila pemimpin Melayu dipilih ia bukan sahaja dapat membangunkan negara Islam tetapi lebih mudah ke arah memperkukuhkan Islam di negara ini yang bersesuaian Malaysia sebagai negara Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button