Berita Utama

Ajaran Islam sempurna asas utama bentuk belia hebat: Khutbah

Masa muda waktu terbaik sumbang kepada agama, bangsa, negara

BANGI, 19 Syawal 1443H, Jumaat – Khutbah Jumaat hari ini menekankan penerapan kefahaman dan penghayatan terhadap ajaran Islam yang sempurna sebagai asas utama untuk membentuk generasi muda yang hebat.

Menurut teks khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu, pendidikan agama adalah proses tarbiah berterusan yang menjadi benteng paling ampuh bagi mengelakkan golongan muda daripada terlibat dengan perkara keji dan mungkar.

Katanya, banyak masalah dalam kalangan anak muda yang perlu ditangani seperti isu kurang ilmu pengetahuan dan kemahiran, kurang daya kepimpinan, pengangguran serta gejala sosial yang membantutkan pembentukan jati diri mereka di negara ini.

“Pengaruh-pengaruh negatif melalui pendedahan hiburan yang melampau, penyalahgunaan dadah, gejala buli, lumba haram, pornografi dan sebagainya telah menambahkan lagi cabaran dalam usaha membentuk akhlak dan sahsiah mereka.

“Di sinilah pentingnya penglibatan semua pihak bermula daripada ibu bapa, keluarga, masyarakat, pemimpin setempat dan pihak kerajaan perlu bergerak sederap bersama dalam membawa hala tuju belia ke landasan yang betul,” katanya.

Khutbah berkata, keberadaan golongan muda perlu diberikan perhatian serius dengan menggerakan usaha memantapkan intelektual, emosi serta spiritual mereka.

Bersempena sambutan Hari Belia Negara Tahun 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’, Jawi berkata, sememangnya masa muda adalah waktu yang berharga kerana di usia itu dipenuhi dengan kecerdasan minda, kekuatan fizikal, kestabilan emosi serta banyak peluang terbuka untuk diterokai.

“Para belia harus disedarkan, masa muda inilah waktu yang terbaik untuk mereka melaksanakan pelbagai kebaikan yang menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.

“Justeru, menjadi harapan yang menggunung tinggi agar lahirnya belia yang berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi selari dengan perkembangan dunia teknologi dan mempunyai kekuatan jati diri yang mantap dalam pelbagai aspek seperti akidah, akhlak, perpaduan, kemasyarakatan dan ekonomi,” katanya.

Pada masa sama, Jawi turut mengajak orang ramai untuk menghadiri majlis Aidilfitri anjuran bersama Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) di Dataran Merdeka bermula jam 10 pagi hingga 2 petang pada 28 Mei ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button