Berita Utama

Cuaca panas, pekerja tak cukup jejaskan penternakan ayam

Kilang pengeluar di Melaka tutup 2 hari kerana ayam kurang berat

KUALA LUMPUR, 19 Syawal 1443H, Jumaat – Cuaca panas dan pekerja yang tidak mencukupi telah menjejaskan penternakan ayam sehingga menyebabkan ayam kurang berat terpaksa dijual.

Penasihat Gabungan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Datuk Jeffrey Ng berkata, keadaan itu turut menyebabkan sebuah syarikat pengeluaran ayam di Jasin, Melaka terpaksa menutup operasi buat sementara waktu.

Beliau berkata, masalah ini bukan unik kepada kilang ini tetapi ia adalah sesuatu yang menjejaskan penternak di seluruh negara.  

Katanya, terpulang kepada mereka untuk menghentikan sementara operasi atau meneruskan operasi seperti biasa.

“Berdasarkan memo yang dikeluarkan oleh kilang, mereka telah memberitahu semua orang dan pelanggan mereka untuk berehat dua hari kerana pertumbuhan anak ayam yang perlahan.

“Kalau tanya saya, kita semua (penternak) menghadapi masalah yang sama. Cuaca panas dan kemarau teruk. Keadaan itu menyebabkan ayam kurang makan, tidak berselera, cepat letih dan banyak minum air.

“Sebab lain ialah kekurangan pekerja asing. Bila nak mohon pekerja asing sekarang, kena ada sijil penginapan. Penginapan dekat dengan ladang dan ini sudah menjadi cara hampir 20 hingga 30 tahun… di mana adakah CF (Certificate of Fitness)? Sebab itu bila kita mohon pekerja asing baharu tidak diluluskan,” katanya kepada Berita Harian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam berkata, kementeriannya telah menerima penjelasan berhubung penutupan itu.  

Tindakan itu bagi membolehkan ayam dihasilkan mengikut saiz yang diperlukan untuk pasaran.

Menteri berkata, mereka dimaklumkan ketika ini berat ayam yang dikeluarkan ialah 1.1 kg dan mahu menaikkan berat kepada 1.8 kg bagi mengelakkan masalah apabila dijual di pasaran.

Ada juga yang mendakwa penutupan kilang ayam itu ada kaitan dengan kartel industri ayam yang merancang untuk menutup ladang hujung minggu ini, sebagai protes terhadap pembayaran subsidi harga ayam yang perlahan oleh kerajaan.

Ng menafikan penutupan syarikat ternakan ayam itu ada kaitan dengan isu subsidi.

Beliau berkata, walau apa pun yang berlaku, persatuan itu tidak menggalakkan syarikat menghentikan pengeluaran ayam.

“Kami tidak mogok. Kami sentiasa berbincang dengan kerajaan. Keadaan itu (penutupan kilang) adalah amalan biasa yang digunakan oleh pengurusan ladang untuk menyelesaikan isu ternakan atau buruh,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button