Berita Utama

KPDNHEP KL sita barangan tiruan bernilai RM1 juta di Jalan Kenanga

Seorang lelaki, wanita tempatan pemilik serta pekerja stor turut ditahan

KUALA LUMPUR, 19 Syawal 1443H, Jumaat – Sebanyak 43,929 barangan tiruan pelbagai jenama bernilai RM1,072,750 disita di empat stor di sebuah pusat pemborong terkemuka di Jalan Kenanga di sini dalam operasi membanteras penjualan barang tiruan, Selasa lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kuala Lumpur (KPDNHEP KL) Ariffin Samsudin berkata seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan pemilik serta pekerja stor turut ditahan dalam serbuan itu.

“Hasil maklumat mendapati pemilik premis itu menjual barangan tiruan secara dalam talian dan mereka juga mempunyai kedai borong yang hanya akan menjual kepada pelanggan tetap untuk mengelak barangan tersebut dihidu pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM15,000 untuk setiap barangan bagi kesalahan pertama serta RM30,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan kedua dan seterusnya.

Ariffin berkata pihaknya akan terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan undang-undang harta intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan.

Katanya sejumlah 89 pegawai penguatkuasa KPDNHEP KL telah digerak untuk memantau harga barangan di semua premis perniagaan bagi memastikan harga jualan tidak melampau dan bekalan sentiasa mencukupi.

Beliau menasihati orang ramai supaya membuat aduan kepada KPDNHEP jika mendapati harga sesuatu barangan melambung tinggi bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button