Berita Utama

Malaysia masih jauh dari ambang muflis seperti Sri Lanka

Tapi punyai persamaan kerana ada pemimpin amal rasuah

BANGI, 19 Syawal 1443H, Jumaat – Malaysia masih jauh dari ambang muflis seperti yang diuar-uarkan sesetengah pihak, meskipun terdapat beberapa persamaan dalam politik di Sri Lanka dengan negara ini.

Membandingkan situasi di Sri Lanka, Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Lukman Al Hakim Mohamad berkata, negara pulau Asia Selatan itu mempunyai hutang negara yang terlampau tinggi berbanding Malaysia.

Beliau berkata, sebelum diisytihar muflis, Sri Lanka pernah meminjam AS$6 bilion dari China pada tahun 2021, di mana pada tahun 2019 hutang negara telah pun mencecah 86.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Dengan penduduk hanya seramai 20 juta, GDP (keluaran dalam negara kasar) Sri Lanka pada tahun 2020 ialah AS$80.7 bilion (sebelum pandemik).

“Manakala Malaysia dengan 32 juta penduduk berjaya mencatatkan GDP AS$336.7 bilion pada tahun 2020.

“Hutang negara pula kini berada pada tahap 60.7 peratus GDP. Walaupun saya akui ia tinggi tetapi masih jauh dari Sri Lanka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Lukman, hutang negara yang berbahaya ialah dipinjam daripada pihak luar seperti negara lain, Bank Dunia atau Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) seperti mana berlaku di Sri Lanka.

Sebaliknya, hutang Malaysia yang dibuat dengan pihak luar masih terkawal dan tidak begitu membimbangkan, katanya.

“Jumlah hutang juga perlu dilihat secara berimbang dengan simpanan (reserve) bank negara dan pelaburan luar (FDI) yang masuk ke dalam negara hasil pelbagai inisiatif ekonomi yang dilakukan kerajaan.

“Malangnya, persamaan Sri Lanka dan Malaysia ialah pemimpin kedua-dua negara mengamalkan rasuah dengan sangat teruk, menjarah kekayaan negara untuk kepentingan diri sendiri serta menjaga kepentingan kumpulan elit dalam penguasaan ekonomi dan politik,” katanya.

Mungkin masih awal untuk menghukum, namun beliau berkata, daripada fakta-fakta perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan salah laku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ini, fenomena itu dilihat sangat membimbangkan.

“Kita juga perlu berjaga-jaga supaya Malaysia tidak dikuasai oleh keluarga elit seperti mana yang berlaku di Sri Lanka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button