
PAGOH, 19 Syawal 1443H, Jumaat – Perikatan Nasional (PN) kini sedang mempertimbangkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, demikian kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, ia akan mengelakkan pertembungan antara kedua-dua gabungan itu dan memastikan pertarungan dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kelak.
“Secara rasmi, belum ada sebarang pertemuan dengan Pakatan (PH) tetapi terdapat beberapa inisiatif yang diambil oleh pihak tertentu untuk membincangkan bagaimana Perikatan (PN) dan Pakatan dapat mengelak pertembungan antara satu sama lain pada PRU15.
“Tetapi kita masih belum mencapai tahap tertentu dalam mencari penyelesaian berhubung perkara ini kerana kita masih perlu memerhatikan keputusan kepimpinan semua parti,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga berkata, jika semua kepimpinan parti percaya langkah sebegitu adalah strategi penting dalam menghadapi PRU15, maka sudah tiba masanya untuk semua duduk bersama.
“Persoalannya adakah kami bersedia untuk melakukannya dan apakah asas untuk kami berbincang dan yang penting bila kami boleh membuat keputusan untuk bertemu supaya kami boleh membuat naratif yang mudah difahami oleh semua orang.
“Setakat ini, belum ada sebarang pertemuan atau perbincangan rasmi dengan Pakatan tetapi kami sedang melihat kemungkinannya,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau mengalu-alukan sekiranya semua parti dalam PN memulakan perbincangan mengenai peruntukan kerusi untuk PRU15 lebih awal.
Beliau mengakui peruntukan kerusi antara parti dalam PN menjadi isu kepada mereka dalam beberapa pilihan raya negeri lalu.
“Sekiranya kita boleh membincangkan kerusi mana yang akan ditandingi oleh setiap parti dalam Perikatan lebih awal, maka kita akan lebih bersedia untuk PRU15,” katanya.