Berita Utama

Pemandu teksi rayu keluarkan LTTE daripada senarai pengganas

Kemukakan 5 persoalan untuk dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan

BANGI, 19 Syawal 1443H, Jumaat – Seorang pemandu teksi memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi menggugurkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) daripada senarai kumpulan pengganas.

Permohonannya yang difailkan V Balamurugan pada 13 Mei lalu turut mengemukakan lima persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan.

Balamurugan dalam notis usul berkenaan berkata, persoalan undang-undang berkenaan skop dan had kuasa Menteri Dalam Negeri dalam mengisytiharkan entiti di bawah Seksyen 66B(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Peguam Omar Kutty Abdul Aziz yang mewakili Balamurugan mengesahkan telah memfailkan permohonan itu dan pengurusan kes ditetapkan pada 17 Jun depan.

Pada 17 September 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan lelaki berkenaan untuk membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan kumpulan LTTE sebagai pengganas di negara ini.

Namun dia gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan yang menolaknya pada 14 April lepas.

Balamurugan memohon suatu pengisytiharan atau deklarasi butiran mengenai LTTE dalam perintah tersebut tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai manakala kemasukan butiran mengenai LTTE adalah batal dan tidak sah yang ia adalah ultra vires atau melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

Pemandu teksi tersebut menamakan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Malah, Balamurugan turut memohon suatu perintah certiorari bagi membatalkan serta-merta butiran mengenai LTTE di dalam Perintah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pengisytiharan Entiti Ditentukan Dan Kehendak Untuk Melapor) (Pindaan) 2014 bertarikh 12 November 2014.

Balamurugan merupakan antara 12 individu yang didakwa pada hujung 2019 atas dakwaan menyokong LTTE.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button