Berita UtamaIstimewa

Kalimah Allah: NGO-NGO mohon perkenan Raja-Raja Melayu perbetul keadaan

Tuntut KDN rayu keputusan Mahkamah Tinggi, tangguh pelaksanaan hingga rayuan selesai

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

KUALA LUMPUR, 1 Syaaban 1442H, Ahad – Sebanyak enam resolusi dikemukakan pertubuhan bukan kerajaan dalam persidangan tergempar NGO-NGO Islam dan tokoh-tokoh masyarakat dalam isu kalimah Allah 2.0, di sini, hari ini.

Ia termasuk memohon perkenan Raja-Raja Melayu selaku ketua agama Islam bagi negeri masing-masing mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan supaya agama tidak terus dihina dan dipermainkan.

Selain itu, menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merayu terhadap keputusan kes kalimah Allah ke mahkamah yang lebih tinggi dengan kadar segera, dan meminta penangguhan pelaksanaan keputusan hakim tersebut sehingga kes rayuan selesai.

Pada masa sama, KDN perlu mengeluarkan pekeliling baru pengharaman penggunaan perkataan-perkataan tersebut sekiranya penangguhan itu tidak dibenarkan.

Resolusi juga menuntut kerajaan dan jawatankuasa pemilihan hakim – apabila melantik hakim-hakim, pastikan mereka yang benar-benar faham sejarah perundangan negara dan menghayati Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks yang sebenar.

Ia menyaran agar setiap organisasi dan persatuan umat Islam mengambil serius terhadap isu ini kerana membawa implikasi besar kepada umat dan menyarankan satu memorandum bantahan dihantar kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dengan kadar segera.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya yang membaca resolusi itu juga menuntut kerajaan mengadakan ‘preamble’ kepada Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan elemen-elemen penting bagi menjaga keutuhan Islam.

Bahkan, menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku badan berotoriti memberikan definisi kepada ‘God’ sebagai ‘tuhan’ bagi menghilangkan pertikaian yang timbul.

Bercakap kepada pemberita, Haji Aminuddin berkata, pihaknya terkejut dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam adalah salah dan tidak mengikut Perlembagaan.

Katanya, ini bercanggah dengan keputusan ‘precedent’ Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

“Keputusan ini akan memberi ruang kepada penyalahgunaannya yang akan menyebabkan bukan sahaja kalimah Allah yang suci dan yang berkaitan akan dihina.

“Malah ia akan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam dan bukan Islam. Pintu murtad atau pemikiran pluralisme akan terbuka luas,” katanya.

Katanya lagi, pihak beliau turut menyelar mana-mana pihak yang dilihat bersungguh-sungguh untuk menggunakan kalimah suci ini yang jelas tidak sensitif dan sengaja mahu menimbulkan perselisihan di kalangan penganut agama.

“Malah ada pemimpin DAP yang melahirkan rasa syukur dengan keputusan ini,” katanya tanpa menyebut sebarang nama.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button