Berita Utama

UKM jadi universiti awam pertama buka cawangan di luar negara

Meterai perjanjian dengan The Regional Group Qatar

BANGI, 19 Syawal 1443H, Jumaat – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta rekod tersendiri apabila menjadi universiti awam (UA) pertama negara membuka cawangan di luar negara iaitu di Doha.

Kejayaan UKM mengembangkan sayap ke luar negara direalisasikan selepas menandatangani memorandum perjanjian dengan The Regional Group Qatar, syarikat yang berpangkalan di Qatar menguruskan pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan.

Majlis berkenaan disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Sementara itu, dalam ucapan Noraini menyifatkan, pemeteraian perjanjian itu membawa pembaharuan dalam institusi pengajian tinggi Malaysia untuk mencapai tahap yang lebih tinggi walaupun negara berdepan pandemik COVID-19.

Perjanjian turut ditandatangani Naib Canselor UKM, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Regional Group Company Qatar, Sheik Abdul Rahman Khalifa Abdul Azizi Al-Thani.

Prof Mohd Ekhwan memberi jaminan dan menyatakan pembukaan cawangan UKM di negara tersebut akan meningkatkan kerjasama dalam perundingan dan penyelidikan.

Melalui perjanjian tersebut, UKM menawarkan program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara pesisir di Doha.

Malah akan membuat pengambilan pelajar pertama, Oktober depan.

Katanya, The Regional Group bertanggungjawab dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan serta infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Manakala UKM pula bertanggungjawab menyediakan input akademik yang melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran serta jaminan kualiti dan pengijazahan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button