Dunia

Wabak polio pertama selepas 30 tahun dikesan di Mozambique

Kanak-kanak dijangkiti mula alami serangan lumpuh pada akhir Mac

MAPUTO, 19 Syawal 1443H, Jumaat – Pihak berkuasa kesihatan di Mozambique mengisytiharkan wabak virus polio liar dikesan selepas mengesahkan seorang kanak-kanak dijangkiti penyakit itu.

Ini menandakan kes import kedua virus polio liar di selatan Afrika tahun ini, selepas wabak di Malawi pada pertengahan Februari, kata Pejabat Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Afrika.

Satu-satunya kes setakat ini adalah yang pertama di negara berkenaan sejak 1992.

Kanak-kanak yang dijangkiti mula mengalami serangan lumpuh pada akhir Mac.

Analisis penjujukan genomik menunjukkan bahawa kes yang baru disahkan itu berkait dengan strain yang telah beredar di Pakistan pada 2019, sama seperti dilaporkan di Malawi pada awal tahun ini, kata WHO.

Polio disebarkan terutamanya melalui air dan makanan yang tercemar atau melalui sentuhan dengan individu dijangkiti.

Virus ini boleh membawa lumpuh dan berisiko kepada maut.

WHO memaklumkan bahawa kes di Mozambique dan Malawi tidak menjejaskan pensijilan bebas virus polio liar Afrika kerana strainnya bukan asli.

Afrika diisytiharkan bebas daripada polio liar asli pada Ogos 2020 selepas menghapuskan semua bentuk polio liar dari rantau itu.

“Pengesanan satu lagi kes virus polio liar di Afrika sangat membimbangkan, walaupun ia tidak mengejutkan memandangkan wabak baru-baru ini di Malawi.

“Bagaimanapun, ia menunjukkan betapa bahayanya virus ini dan seberapa cepat ia boleh merebak,” kata Pengarah Serantau WHO untuk Afrika, Dr Matshidiso Moeti.

Menurut WHO, siasatan sedang dijalankan di Mozambique untuk menentukan tahap risiko yang timbul membabitkan kes virus polio liar baharu itu serta tindak balas diperlukan.

Mozambique baru-baru ini menjalankan dua kempen vaksinasi besar-besaran – sebagai tindak balas kepada wabak di Malawi – di mana 4.2 juta kanak-kanak telah diberi vaksin terhadap penyakit itu.

Virus polio hanya endemik di Afghanistan dan Pakistan. Kanak-kanak di seluruh dunia kekal berisiko dijangkiti polio liar jenis 1 selagi virus tidak dihapuskan di kawasan terakhir ia menular. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button