Berita UtamaDunia

57 MP Demokrat gesa AS ketuai siasatan kes bunuh wartawan Al Jazeera

Shireen berhak dapat perlindungan yang diberikan kepada warga AS di luar negara

WASHINGTON, 20 Syawal 1443H, Sabtu – 57 Ahli Parlimen Demokrat menulis surat kepada Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray dan Setiausaha Negara, Antony Blinken meminta Amerika Syarikat (AS) mengetuai siasatan kes pembunuhan wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh.

“Kami meminta Jabatan Negara dan FBI menjalankan siasatan ke atas kematian Shireen,” tulis kumpulan penggubal undang-undang itu.

Shireen yang berkhidmat selama 25 tahun sebagai wartawan dibunuh oleh tentera rejim Zionis ketika dia membuat liputan di Kem Pelarian Jenin, Tebing Barat.

Israel pada mulanya menyalahkan lelaki bersenjata Palestin atas kematian Shireen, tetapi kemudian berundur dan berkata mereka akan menyiasat dari mana peluru itu datang.

“Tentera Israel mendakwa mangsa terperangkap di antara tembakan antara pejuang Palestin dan Angkatan Pertahanan Israel. 

“Bagaimanapun, media dan saksi mempunyai laporan yang bercanggah,” tulis penggubal undang-undang AS, semalam.

Mereka mengalu-alukan kenyataan dan tindakan yang diambil oleh pentadbiran Biden, yang  mengutuk kematian Shireen dan menggesa siasatan dijalankan.  

Sebaliknya, pentadbiran Biden mendakwa, Israel kononnya mampu menjalankan siasatan menyeluruh sendiri.

“Sebagai rakyat Amerika, Shireen berhak mendapat perlindungan penuh yang diberikan kepada warga AS yang tinggal di luar negara.

“Kami mempunyai kewajipan untuk melindungi warga Amerika yang melaporkan di luar negara,” denikian menurut surat yang diketuai bersama oleh Ahli Kongres Andre Carson, Bill Pascrell dan Lou Correa.

Tentera Israel juga dikritik kerana keganasan mereka ketika perarakan pengebumian Shireen.

Ketika jenazahnya diusung, ratusan rakyat Palestin kelihatan mengibarkan bendera Palestin.

Kemudian, rejim haram Israel meluru ke arah orang yang berkabung, menyerang mereka dengan belantan, termasuk pengusung hingga menyebabkan keranda jatuh. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button