Berita Utama

Gugurkan LTTE sebagai pengganas fenomena luar biasa: Pakar

Lebih 30 buah negara labelkan kumpulan itu sebagai pengganas

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 20 Syawal 1443H, Sabtu – Malaysia akan mewujudkan fenomena luar biasa sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan dibuat bagi menggugurkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) daripada senarai kumpulan pengganas di negara ini.

Pakar Geostrategi, Azmi Hassan berkata, tindakan ini berikutan lebih 30 buah negara di seluruh dunia termasuk India, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah masih melabelkan LTTE sebagai pengganas.

“Hakikatnya dasar negara kita adalah masih melabelkan LTTE itu sebagai kumpulan pengganas.

“Kalau mahkamah di Malaysia mempunyai hak untuk mendengar rayuan setiap dasar mengenai keselamatan, ini akan menimbulkan fenomena luar biasa.

“Kerana setiap dasar mengenai keselamatan boleh dicabar, boleh didengar rayuan,” katanya ketika hubungi Ismaweb.net, hari ini.

Azmi bagaimanapun tidak pasti sama ada Mahkamah Persekutuan mempunyai hak untuk mendengar permohonan ini kerana dasar kerajaan, lebih-lebih lagi mengenai keselamatan.

Namun buat masa ini, tegas beliau, dasar Malaysia masih melabelkan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Tegas beliau, dasar keselamatan kerajaan hari ini dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri dan kemungkinan bersangkut paut oleh Kementerian Luar kerana mempunyai kaitan dengan organisasi luar negara.

Semalam, seorang pemandu teksi, V Balamurugan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi gugurkan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Menerusi permohonan rayuan yang difailkan, Balamurugan mengemukakan lima persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button