Berita Utama

Hapus AP beri kesan positif kepada struktur pasaran lebih kompetitif

Perlu pemantauan menyeluruh kepada penternak, petani terjejas akibat penghapusan AP

BANGI, 20 Syawal 1443H, Sabtu – Langkah memansuhkan permit import (AP) dapat mengelak tekanan inflasi makanan dan kekurangan bekalan menjadi lebih teruk pada masa hadapan.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin berkata, perlu diingat bahawa ia bertindak sebagai pelengkap kepada dasar dan langkah diperkenalkan sebelum ini seperti pemberian subsidi, pengenalan harga siling serta skim harga maksimum.

Bagaimanapun, katanya, untuk jangka panjang usaha meningkatkan pengeluaran makanan perlu diperkukuhkan supaya negara tidak perlu lagi mengimport bagi memenuhi keperluan seluruh rakyat.

Katanya, ia bermakna bukan sahaja isu sekuriti makanan dapat ditangani, bahkan juga persoalan nutrisi makanan itu sendiri dengan bentuk aktiviti pengeluaran makanan yang mampan tanpa memberi kesan serius terhadap alam sekitar.

“Jadi, di sinilah pentingnya dokumen Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang dilancarkan kerajaan. DAN 2.0 akan menjadi dokumen penting dalam usaha agenda transformasi sektor agromakanan negara supaya akhirnya kita tidak lagi menghadapi masalah terputus bekalan akibat faktor di luar kawalan kita.

“Dengan itu, kita bukan sahaja tidak lagi 

bergantung kepada import, bahkan dapat memperkasakan petani, nelayan, pekebun, peladang, penternak dan pesawah agar mereka dapat bersaing secara sihat di pasaran tanpa AP,” katanya dalam rencana disiarkan BH Online.

Pun begitu, beliau berkata, bagi ‘melepaskan’ mereka untuk bersaing secara sihat, kapasiti dan keupayaan perlu ditingkatkan.

Namun, dalam jangka pendek, iaitu pada ketika ini, penghapusan AP bahan makanan ini adalah tindakan tepat. 

“Ia bukanlah satu bentuk kaedah mudah untuk menyelesaikan masalah tekanan inflasi dan kekurangan bekalan makanan, tetapi sedikit sebanyak dapat membantu.

“Ia juga mungkin dapat menghapuskan isu orang tengah dalam sistem AP sebelum ini. Namun, apa yang pasti adalah penghapusan AP ini memberikan kesan positif kepada struktur pasaran lebih kompetitif dalam industri agromakanan ini,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan secara berterusan dan menyeluruh perlu dibuat kepada penternak atau petani yang mungkin terjejas akibat penghapusan AP. 

“Mungkin kaedah subsidi bersasar boleh juga diperkenalkan untuk mengurangkan impak negatif kepada terjejas. Begitu juga dengan nasib pemegang AP sedia ada yang dihapuskan ini.

“Akhirnya, dalam usaha untuk memperkukuhkan sekuriti makanan negara, sudah tiba masanya untuk sektor pertanian dimodenkan dan diperkasakan. 

“Banyak pengalaman kita boleh pelajari daripada sejarah pembangunan ekonomi sendiri untuk merangka hala tuju atau visi sektor pertanian negara lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button