Berita Utama

ISMA, PEMBELA berjaya hentikan jualan arak di Family Mart Merlimau

Sokongan penduduk setempat, pengerusi masjid membuahkan hasil

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

MELAKA, 20 Syawal 1443H, Sabtu – Usaha Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Melaka Tengah, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) serta penduduk setempat membantah penjualan arak di kedai serbaneka sekitar Merlimau Utara mendapat sambutan memberangsangkan.

Salah sebuah premis yang telah mengambil langkah positif menghentikan penjualan arak ialah Family Mart di Bandar Baru Merlimau Utara.

Ketua Biro Dakwah ISMA Melaka Tengah, Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak berkata, semua pekerja di premis itu telah memberikan kerjasama yang baik dalam menyokong usaha membantah penjualan arak.

“Pertama sekali kita buat teguran secara lisan dan kemudian kita membuat bantahan secara bersurat ditujukan kepada setiap pengurus kedai serbaneka.

“Pekerja di Family Mart telah bekerjasama menghantar surat bantahan kepada pengurus mereka dan melampirkan sekali Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 Seksyen 50.

“Mereka meraikan tindakan tersebut dan bersetuju kerana kesemua mereka adalah pekerja muslim. Tambahan pula di hadapan Family Mart terletaknya politeknik dan sekitar 200 meter dari situ terletaknya masjid,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, transaksi jualan arak untuk tempoh sebulan di premis tersebut yang rendah menjadi salah satu faktor utama mengukuhkan lagi penghentian jualan arak ini.

Dalam pada itu, Mohd Aizuddin berkata, penduduk dan pengerusi masjid serta pemimpin komuniti turun padang untuk meninjau penghentian penjualan di setiap premis.

Bahkan, lebih memberangsangkan apabila kempen ini digalakkan lagi dengan usaha pengerusi masjid mendapatkan sokongan penduduk setempat hingga berjaya mencapai 2,000 tandatangan dalam surat bantahan.

“Kejiranan itu sedia maklum apa yang sedang dibuat. Sokongan daripada pemimpin non-muslim pun ada,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat dua lagi premis yang belum memberikan maklum balas terhadap surat bantahan yang telah dihantar – kedai serbaneka 7 Eleven Taman Muhibbah dan 99 SpeedMart Taman Merlimau Utara.

Bukan itu sahaja, malah susun atur arak di 99 Speedmart pun tiada pengasingan dengan produk halal. 

“Surat bantahan daripada komuniti setempat tidak dipedulikan. Arak bercampur dengan produk halal.

“Dua kedai ini kita akan cuba berunding lagi untuk keluarkan arak. Semua jurujual yang terlibat adalah muslim. Jurujual pun sambut baik, cuma keterbatasan mereka sebagai pekerja.

“Selasa ini kami akan berunding sekali lagi secara lisan. Kita akan tanya update pihak pengurusan kepada memo kami,” katanya.

ISMA Melaka Tengah bantah jualan arak di 7E, Family Mart dan 99 Speedmart

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button