Berita Utama

Sejak bila berjudi jadi hak asasi bukan Islam?

P Ramasamy seolah-olah hina masyarakat bukan Islam

BANGI, 9 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Sudah dijangka langkah Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian dan menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri – berkuat kuasa serta-merta – menerima bantahan segelintir pihak.

Buktinya, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mendakwa keputusan kerajaan Kedah bertujuan mengawal orang bukan Islam dan menafikan hak mereka.

“Sekiranya kerajaan negeri mahu melarang orang Islam pergi ke kedai-kedai judi saya tiada apa-apa yang boleh diperkatakan, tetapi kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan tiada hak untuk menafikan hak mereka yang bukan Islam untuk ke kedai judi.

“Mengapa ketaksuban ini berlaku terhadap orang bukan Islam? Bukankah mereka rakyat yang telah membayar cukai mereka?

“Apakah kesalahan yang telah mereka lakukan terhadap (Menteri Besar Kedah) Muhammad Sanusi Md Nor sehingga mereka dihukum?,” katanya.

Menempelak dakwaan pemimpin DAP itu, pemerhati politik, Prof Madya Dr Muhammad Fathi menganggap kenyataan P Ramasamy seolah-olah menghina masyarakat bukan Islam dalam negara ini.

“Sejak bila berjudi menjadi hak asasi bukan Islam.

“Semua agama larang penganutnya berjudi. Semua orang… menerima hakikat bahawa judi tidak baik untuk budaya masyarakat. Tiba-tiba dia nak membela judi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis perjudian di negeri ini, bagi memastikan negeri itu bebas daripada aktiviti tersebut pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, menerusi Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri minggu lepas, semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak akan memperbaharui lesen premis perjudian sedia ada.

Kerajaan negeri juga membuat keputusan untuk mengehadkan penjualan minuman keras secara terbuka di negeri itu, terutama di kawasan-kawasan yang tidak mendapat permintaan seperti luar bandar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button