Berita Utama

Jemaah haji disaran ambil suntikan penggalak

Boleh walk-in di PPV operasi, bawa surat tawaran menunaikan haji

KUALA LUMPUR, 20 Syawal 1443H, Sabtu – Bakal jemaah haji disarankan mendapatkan suntikan penggalak vaksin COVID-19 sebelum berlepas bagi mengurangkan risiko jangkitan, kata Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan Arab Saudi telah menggariskan bahawa jemaah haji diwajibkan untuk melengkapkan vaksinasi mereka, manakala suntikan penggalak vaksin COVID-19 digalakkan.

Beliau berkata, kementerian juga menggalakkan semua jemaah haji berumur 60 tahun ke atas, serta mereka yang berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk mendapatkan dos kedua vaksin COVID-19.

“Langkah ini bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji ketika berada di Tanah Suci dengan mengambil kira perhimpunan besar yang melibatkan jemaah haji dari seluruh dunia,” katanya.

Sebagai langkah tambahan, Khairy berkata, semua jemaah berumur 12 hingga 18 tahun digalakkan untuk mendapatkan suntikan penggalak vaksin COVID-19 lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin COVID-19.

Beliau berkata, remaja yang telah melengkapkan vaksinasi mereka dan telah dijangkiti COVID-19, layak menerima dos penggalak setelah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu.

“Memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan lain seperti meningokokal, influenza atau pneumokokal, dos penggalak vaksin COVID-19 boleh diberikan dalam tempoh dua minggu sebelum atau selepas vaksin lain diberikan.

“Jemaah haji terbabit boleh mendapatkan dos penggalak secara terus tanpa temu janji atau walk-in di PPV operasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan seperti surat tawaran menunaikan haji,” katanya.

Kementerian Kesihatan berkata, kuota haji yang ditawarkan kepada negara tahun ini, sama seperti negara lain, dihadkan hanya 45 peratus daripada kuota pada 2019, dengan 14,306 jemaah berbanding 31,600 jemaah pada 2019.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button