Uncategorized

MN kini dalam keadaan nyawa-nyawa ikan: Presiden UMNO

Masa depan MN perlu dibincang di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti

BANGI, 20 Syawal 1443H, Sabtu – Masa depan Muafakat Nasional (MN) menerusi kerjasama antara PAS dan UMNO kini berada dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sewajarnya soal masa depan MN dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti.

“Hasil perbincangan itu nanti boleh dibawa kedua-dua parti untuk kita putuskan,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, kerjasama UMNO dan PAS melalui MN perlu dilupakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada 14 September 2019, UMNO dan PAS menubuhkan MN atas alasan untuk mengukuhkan semula kesatuan politik.

Gagasan berkenaan didakwa mahu membawa perubahan kepada kesatuan politik Melayu di Malaysia.

Namun, peranan dan fungsi MN kini seolah-olah tenggelam dan hilang punca.

Mengulas mengenai terdapat menteri Kabinet yang turun di beberapa kawasan tertentu berkemungkinan mengintai peluang sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada PRU15, Ahmad Zahid berkata, perkara tersebut terpulang kepada pemimpin terbabit.

“Tidak apalah, ini Hari Raya (Aidilfitri), datanglah. Dia hendak menyumbang bagi bantuan, kita terima siapa pun,” katanya.

Beliau dalam masa sama menegaskan senarai calon bagi menghadapi PRU15 belum lagi diputuskan.

“Soal calon yang akan bertanding, kita belum putuskan lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button