Uncategorized

Russia dakwa berjaya tawan sepenuh bandar Mariupol

Kini beralih ke wilayah timur dan tumpu di Lebuh Raya Lysychansk-Bakhmut

MARIUPOL, 20 Syawal 1443H, Sabtu – Russia mendakwa tenteranya berjaya menawan seluruh kilang keluli di bandar Mariupol yang merupakan kubu terakhir di Ukraine.

Kejayaan itu menandakan berakhirnya pengepungan selama tiga bulan di bandar tersebut sehingga menyebabkan ia musnah selain mengorbankan hampir 20,000 penduduk yang tidak bersalah.

Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu memaklumkan kejayaan tersebut kepada Presiden Vladimir Putin sambil menjelaskan kilang keluli di Azovstal telah ditawan sepenuhnya dari tentera Ukraine.

Gabenor Wilayah Luhansk, Serhiy Haidai berkata, tentera Russia kini meneruskan serangan di beberapa bandar di Lysychanck dan Severodonestsk, wilayah Luhansk, timur negara itu dengan cuba mengawal kawasan berkenaan.

Haidai menjelaskan, tumpuan diberikan di Lebuh Raya Lysychansk-Bakhmut, yang merupakan satu-satunya laluan digunakan untuk memindahkan penduduk dan menghantar bekalan kemanusiaan.

Laluan berkenaan penting kerana boleh menghubungkan ke beberapa wilayah lain di negara tersebut.

Tambah Haidai lagi, tentera Russia cuba mengepung kawasan itu dengan menembak individu termasuk kenderaan yang melaluinya.

Semalam, sebuah sekolah di Severodonestsk yang dijadikan pusat perlindungan kepada lebih 200 penduduk – kebanyakan kanak-kanak – menjadi lokasi serangan terbaharu tentera Russia.

Serangan tersebut menyebabkan tiga penduduk dewasa terkorban. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button