Berita Utama

Sekolah daif wujud kerana tiada kecekapan, kesegeraan pihak atasan: iGuru

Pelan jangka panjang perlu dirangka segera demi masa depan anak bangsa

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 20 Syawal 1443H, Sabtu – Kurang kesegeraan dan kecekapan dari pihak atasan dipercayai menjadi punca bilangan sekolah daif di negara ini semakin bertambah.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hassan berkata, keadaan bangunan dan fizikal sekolah yang daif sudah lama menjadi isu mendesak.

Katanya, pembiayaan bukan menjadi isu kerana sejumlah besar wang telah diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) terutama melibatkan sekolah-sekolah pedalaman dan juga di bandar.

“Namun penggunaan dana yang tidak betul adalah punca yang menjadi masalah ini berlanjutan dan menyebabkan banyak perkara tergantung sekali gus menyebab bangunan-bangunan uzur di sekolah juga bertambah setiap tahun.

“Situasi ini jika dibiarkan akan menyebabkan minat anak-anak terumanya melibatkan sekolah rendah akan hilang untuk hadir ke sekolah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pensyarah kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad yang mendedahkan sebanyak 1,311 daripada 10,220 sekolah di seluruh negara mempunyai bangunan daif.

Justeru, Ustaz Azizee berkata, pelan jangka panjang perlu dirangka segera dalam usaha mengembalikan semula hak dan keutamaan murid.

“Bukan sahaja untuk menyelenggara sekolah tetapi juga dalam usaha memacu pendigitalan sistem pendidikan di negara kita,” katanya.

Malah, beliau optimis langkah berkenaan bukan sahaja dapat menaik taraf sekolah tetapi memberi keterujaan kepada anak-anak murid untuk ke sekolah.

Tegas beliau, reformasi Perlembagaan perlu digerakkan segera bagi memperkasakan murid selain mampu membawa perubahan bermakna demi masa depan anak bangsa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button