Berita Utama

Pemuda ISMA gesa larangan jual arak diperluas seluruh negara

Keputusan DBKL satu kegembiraan, kurang kes kemalangan akibat mabuk

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyambut baik garis panduan dan syarat permohonan lesen minuman keras baharu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menegaskan pendirian itu, Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Soufi Anual berkata, garis panduan itu memberi kegembiraan kepada semua rakyat Malaysia yang sebelumnya resah dengan kes kemalangan mengakibatkan kematian oleh pemandu mabuk saban hari.

“Inisiatif DBKL ini sekali gus akan menyumbang kepada berkurangnya peminum arak dan akhirnya tidaklah lagi kedengaran kes langgar mati oleh pemandu mabuk,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun, seperti dijangka katanya, pengumuman tersebut sudah pasti akan ditentang keras Persatuan Peniaga Minuman Keras.

Persatuan ini berhujah bahawa langkah itu tidak hanya akan merugikan perniagaan, malah mengutangkan kutipan cukai negara.

Selain itu, mereka turut menyifatkan dasar yang diumumkan oleh DBKL itu sebagai satu langkah yang regresif – mundur.

Membidas pandangan itu, Soufi berkata, walau apa pun justifikasi yang diberikan, amat mustahak pihak persatuan tersebut mengakui hakikat bahawa penjualan arak memberi mudarat secara berleluasa.

Apatah lagi dengan laporan peningkatan jumlah kes kematian di jalan raya dan penderaan di rumah, katanya.

“Atas segala mudarat arak yang berlaku, tidak pula kedengaran persatuan itu membantu atau menyumbang semula kepada yang terkesan akibat bahana arak,” tegasnya.

Di samping itu, apa yang menyedihkan juga adalah kebanyakan pekerja kedai runcit dan serbaneka ialah pekerja muslim sedangkan ia bertentangan dengan undang-undang.

“Maknanya mereka boleh disabitkan atas akta syariah tersebut sekiranya terlibat dalam penjualan arak.

“Lebih mengejutkan, jika diteliti peraturan pihak berkuasa tempatan, ada akta yang meletakkan syarat premis yang menjual minuman keras hendaklah melebihi jarak 200 meter dari kawasan perumahan, sekolah dan surau masjid. 

“Namun, kebanyakan kedai runcit dan serbaneka terletak betul-betul dalam kawasan perumahan! Malah sebahagian besar meletakkan arak dalam satu peti sejuk yang sama sedangkan sepatutnya mereka wajib asingkan dan letak arak tersebut di bahagian belakang premis,” katanya yang kesal dengan situasi itu.

Soufi menegaskan, pada hakikatnya, banyak undang-undang yang menjaga manusia daripada bahana arak.

Tetapi, sekali lagi atas asbab kurangnya penguatkuasaan undang-undang, maka penjual arak yang tidak ‘mengenali’ unsur halal dan haram ini terus menerus melanggar undang-undang sedia ada.

“Justeru, kami di Pemuda ISMA menyeru kepada pihak kerajaan supaya meluaskan larangan penjualan arak ini ke seluruh Malaysia.

“Kami juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang bencikan arak ini supaya melaporkan kepada pihak berwajib atas kesalahan penjualan arak ini,” katanya.

Isnin lalu, DBKL mengeluarkan garis panduan dan syarat-syarat permohonan jualan minuman keras yang mana menyatakan bahawa minuman memabukman itu tidak dibenarkan dijual di kedai runcit, kedai serbaneka, kedai ubat Cina berkuat kuasa 1 Oktober 2021 kecuali bagi tujuan ubatan tradisional sama ada campuran/‘pure’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button