Berita UtamaIstimewa

Mansuh AP buka ruang pengimport lama monopoli pasaran

Lagi bebas kuasai sumber bekalan, tingkat jumlah import

BANGI, 21 Syawal 1443H, Ahad – Tindakan kerajaan memansuhkan keperluan permit import (AP) terhadap bekalan makanan di negara ini tidak mustahil membuka ruang monopoli kepada pengimport besar yang sudah menguasai pasaran.

Ini kerana, pengimport lama sudah mahir dengan pengusaha negara pembekal dan peruncit, apatah lagi dibantu ‘orang tengah’ yang berpengaruh dan telah lama memperoleh manfaat daripada perniagaan berkenaan.

Justeru, kemasukan pengimport baharu bukanlah satu cabaran besar bagi pengimport lama, kata Ketua Perhubungan ISMA Kelantan, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir.

“Tidak mustahil akan berlaku dengan kebebasan ini, mereka boleh tingkatkan lagi import mereka daripada kebiasaan dengan AP yang diberikan.

“Tanpa AP, mereka lagi bebas menguasai sumber bekalan dan meningkatkan jumlah import mereka, sama ada melalui syarikat sedia ada atau wujud syarikat-syarikat baru yang mereka tubuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Memandangkan mereka telah lama berkecimpung dalam bidang itu, banyak selok-belok yang telah dilalui pengimport lama berbanding syarikat atau pengusaha yang baru memulakan industri import.

Malah, pengusaha atau syarikat baharu ini juga perlu berdepan banyak karenah birokrasi jika ingin memulakan industri berkenaan, katanya.

“Bukan senang pengusaha baru untuk menerobos laluan perniagaan yang telah lama dikuasai oleh taikun-taikun lama. Taikun tidak akan mengalah.

“Lebih dibimbangi, lagi besar empayar mereka melalui kebebasan ini kerana mendapatkan sumber bekalan, berbanding dengan cara lama yang memerlukan AP, keadaannya agak terkawal dari segi sumber bekalan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan keputusan memansuhkan keperluan AP terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta dibuat bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Dengan pemansuhan keperluan berkenaan, katanya, sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini sebagai antara usaha menangani isu keselamatan makanan.

Terbaharu, perdana menteri memberitahu, selain permit import bagi bahan makanan, kerajaan juga sedang kaji pemansuhan AP lain bagi mengurangkan tekanan kekurangan penawaran makanan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button