Kolumnis

65 tahun merdeka kita masih gagal daulat bahasa Melayu dalam bina negara

Masih banyak isu pembinaan negara berkait perpaduan belum dapat diselesaikan

HARI ini, ketika artikel kolumnis diterbitkan, saya dijemput membentangkan kertas kerja bertajuk “Bahasa Melayu dan pembinaan negara”, dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP.

Dua belas tahun lalu, pada 15 Februari 2010, saya menerima jemputan sebagai panel dalam “Wacana Peradaban Bahasa Melayu”, anjuran GAPENA, KALAM dan PENA di Dewan DBP, Kuala Lumpur. Tarikh 15 Februari dipilih mengambil kira Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam wacana tersebut, seorang profesor daripada Korea Selatan, fasih berbahasa Melayu amat berharap agar tulisan Jawi diperkasakan dalam usaha mendaulatkan BM.

Seorang lagi panel bukan Melayu, S Nathesan Sellapan pula berkata, perjuangan mendaulatkan BM tidak hanya dipikul oleh orang Melayu sahaja tetapi paling penting orang bukan Melayu kerana ini agenda negara. Orang bukan Melayu mesti mempunyai tanggungjawab untuk mendaulatkannya.

Persoalannya, apakah masih perlu diadakan wacana sebegini memandangkan kedudukan bahasa Melayu sudah termaktub dan terdaulat dalam Perlembagaan Persekutuan? Amatlah menghairankan sesuatu yang menjadi agenda negara, termaktub dalam Perlembagaan, panduan hidup bernegara, perlu dibincangkan acap kali. Sepatutnya perkara asas sebegini telah dapat diselesaikan awal-awal lagi.

Setelah sekian lama merdeka, 65 tahun, kita dilihat seolah-olah masih tercari-cari identiti dalam soal pembinaan negara. Perkara sebesar agenda negara, melibatkan perpaduan nasional, terus menjadi bahan perbincangan dari semasa ke semasa, sehingga wujud kementerian khas, berkaitan perpaduan nasional, yang jarang sekali terdapat di negara lain, hanya kerana rakyat negara ini berbilang etnik.

Kita dikhayalkan dengan istilah bombastik seperti kesepaduan sosial (social cohesion) dan mamakization. Malaysia tidak seperti negara lain, tidak mengamalkan asimilasi, tetapi integrasi. Pembinaan negara ini lebih cenderung kepada kerjasama sosial daripada penyerapan budaya dan cara hidup.

Ia seolah-olah membawa makna, masih banyak isu pembinaan negara berkaitan perpaduan yang belum dapat diselesaikan. Paling ketara, agenda negara untuk mendaulatkan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan atau bahasa negara. Agenda besar yang sepatutnya dapat menyatukan rakyat Malaysia.

Malangnya, masih ramai rakyat Malaysia yang memandang sinis akan pentingnya BM sebagai alat perpaduan dalam membina negara. Ini menyebabkan ada yang tidak dapat berkomunikasi dan bertutur dalam BM dengan baik, terutama dalam kalangan bukan Melayu. Lebih menjengkelkan, dalam kalangan pemimpin negara sendiri memperlihatkan tahap penguasaan BM yang menyedihkan. Pembinaan negara apakah yang sedang diperkatakan? Sedangkan negara lain di dunia, tidak menghadapi masalah serumit ini dalam memperkasakan agenda bahasa negara mereka. Bahasa menjadi asas kepada pembinaan negara.

Penulis lebih cenderung kepada pendekatan Karl & William (1966) dan Mylonas (2017) bahawa pembinaan negara adalah satu proses mewujudkan sebuah identiti kebangsaan atau jati diri negara menggunakan kuasa yang ada, dalam mencapai matlamat perpaduan, bagi memastikan kestabilan dan kedamaian sesebuah negara

Terdapat empat kata kunci utama dalam pembinaan negara iaitu sejarah yang menjadi identiti atau jati diri, kuasa (negara), perpaduan dan kestabilan.

Pertama, jati diri atau identiti negara melibatkan perkara besar negara berpandukan sejarah yang agenda nasional, menjadi pegangan semua, termaktub dalam perlembagaaan seperti kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, hak pribumi (Melayu dan Bumiputera, raja-raja melayu dan semua perkara berkaitan. Sejarah menjadi paksi dan pasaknya.

Kedua, kuasa (negara) merujuk kepada pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang dalam mencapai matlamat agenda nasional tersebut, agar menjadi pegangan dan dipatuhi rakyat. Keadilan menjadi teras perjalanan kuasa tersebut.

Ketiga, perpaduan pula adalah apabila agenda nasional dan nilai menjadi pegangan dan amalan setiap warga, sama ada secara sukarela atau paksaan, akhirnya ia dapat menyatu-padukan rakyat, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan sebagainya. Misalnya, Rukun Negara.

Keempat, apabila perpaduan telah tercapai, sudah pasti kestabilan atau kedamaian, akan terhasil. Ini sudah tentu dapat membawa kemakmuran sesebuah kerana kerana mendapat kepercayaan negara luar.

Dalam kata lain, pembinaan negara berjatidiri, bersendikan perlembagaan adalah suatu agenda yang sangat penting dan serius. Kuasa yang ada hendaklah digunakan bagi memastikan agenda itu dapat dilaksanakan, agar wujud perpaduan yang kukuh demi masa depan negara. Segala usaha yang boleh membantutkan pembinaan negara hendaklah dibenteras.

Malangnya, dalam konteks Malaysia, pendidikan sejarah turut terabai. Sekolah vernakular dan sekolah persendirian mempunyai versi sejarah negara tersendiri. Sekolah vernakular menggunakan bahasa ibunda dalam pengajaran dan pembelajaran mereka. Begitu juga dengan sekolah persendirian. Pendek kata, dalam banyak perkara, kita gagal untuk menyeragamkan sistem pendidikan yang menjadi asas pembinaan negara. Kita gagal menjadikan BM menjadi teras dalam pengajaran dan pembelajaran, hatta subjek sejarah itu sendiri?

Persoalannya, adakah kedudukan BM berjaya menjadi asas kepada pembinaan negara? Perlu diingat, dalam pembinaan negara, sejarah jati diri dan identiti sesuatu bangsa inilah yang membezakan sesuatu kumpulan manusia dengan kumpulan manusia lain. Menuturkan sebuah bahasa yang sama ialah antara ciri yang menentukan jati diri sesebuah negara dan bangsa.

Rakyat Switzerland menuturkan empat bahasa yang berlainan iaitu Bahasa Perancis, Jerman, Italy dan Roman mereka semua adalah bangsa Swiss. Malangnya, di Malaysia, kita juga mempunyai satu bahasa kebangsaan, tetapi kelihatan seolah-olah gagal untuk dilaksanakan, apatah lagi menyatukan

Kita akan berdepan dengan masalah demi masalah yang tidak dapat diselesaikan sebagaimana yang berlaku pada hari ini. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah agenda negara, matlamatnya besar. Manakala, agenda bahasa ibunda adalah untuk agenda bangsa. Apabila berlaku pertembungan, maka sudah tentu agenda negara perlu diberikan keutamaan tanpa menjejaskan agenda bangsa.

Amat malang, sekali, BM sebagai bahasa kebangsaan, boleh dikatakan gagal menjadi medium kepada pembinaan negara bermatlamatkan perpaduan. Kesungguhan Perdana Menteri Malaysia hari ini, yang mengambil inisiatif untuk mendaulat dan mengantarabangsakan BM patut diberikan perhatian dan pujian.

Persoalannya, hanya sebahagian yang bersama Perdana Menteri (PM) dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu (BM). Sebahagian bukan Melayu langsung tidak mengendahkannya. Dalam kata lain, kita masih berbelah bahagi dalam soal pembinaan negara bangsa. Sedangkan negara lain semua bersatu hati. Kita terus berpolitik. Kerana takut sokongan politik beralih, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya. Agenda negara sebesar ini dibiarkan begitu saja. Lebih malang lagi, sebahagian orang Melayu sendiri tidak menunjukkan minat langsung.

Seperti yang telah dibincangkan, asas utama pembinaan negara adalah pendidikan. Penghalang terbesar dalam pembinaan negara adalah sistem pendidikan berasaskan kaum, yang mempunyai hasrat membina negara dalam negara. Pendidikan sepatutnya menyatukan bukan memisahkan. Malangnya, dalam konteks negara kita, pendidikan bersifat memisah bukan menyatu. Kewujudan sekolah pelbagai aliran daripada peringkat asas hingga pengajian tinggi, begitu ketara pemisahannya. Tidak ada penguatkuasaan. BM tidak didaulatkan. Penguasaan BM yang amat menyedihkan.

Pada tahun 2010, menurut Pesuruhjaya Banci dan Ketua Perangkawan Malaysia ketika itu, masalah sikap orang ramai khususnya masyarakat Cina merupakan cabaran utama pembanci melakukan tugas pembancian sepanjang gerakan Banci Penduduk dan Perumahan 2010. Mereka tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris. Mereka hanya tahu Bahasa ibunda sahaja. Katanya, ia tidak harusnya terjadi kerana kita sebagai rakyat Malaysia, sebagai penduduk Malaysia sejak Merdeka hampir 53 tahun, sudah pasti tahu untuk menggunakan salah satu bahasa itu. Dalam Fasa I Banci 2010, 70 peratus daripada mereka yang tidak memberikan respon adalah masyarakat Cina. Jabatan Perangkaan terpaksa mendapatkan kerjasama media berbahasa Cina, petugas jabatan berbangsa Cina dan persatuan-persatuan mewakili masyarakat itu bagi memberi respon kepada pembanci. masyarakat Cina tidak boleh mengatakan mereka tidak memahami soalan yang disediakan kerana kebanyakan mereka tinggal di bandar dan mendapat akses kemudahan pendidikan. Paling dikesalkan, mereka sanggup melepaskan beberapa ekor anjing bagi menghalang pembanci mendekati rumah (MStar 12 Ogos 2010, Malaysiakini 11 Ogos 2010)

Berdasarkan kepada insiden ini, cuba buat kajian menyeluruh, berapa ramai bukan Melayu yang boleh berbahasa Melayu dengan baik? Berapa ramai pelajar Cina yang mendapat cemerlang dalam subjek BM? Berapa ramai pula yang gagal BM? Kenapa lima Sekolah Wawasan yang dibina zaman Dr. Mahathir Mohamad menempatkan semua aliran SK dan SJKC (T) di bawah satu bumbung gagal?

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shad Faruqi berkata, hak orang Cina ada hak untuk belajar bahasa Cina, itu memang dijamin dalam Perlembagaan, tetapi bukan belajar dalam bahasa Cina. Dalam maksud, Perlembagaan memberi hak belajar ibunda tetapi bukan belajar dalam bahasa ibunda.

Pakar Sejarah Negara, mendiang Prof Khoo Kay Kim pernah berkata, British hanya benarkan sekolah Cina beroperasi ketika zaman penjajah, jika mereka berhasrat untuk kembali ke negara asal iaitu negara China. Tidak mahu menetap di Tanah Melayu. Namun, jika orang Cina mengambil keputusan untuk menetap di Tanah Melayu, maka sekolah Cina mesti dirobohkan. Orang Cina mesti belajar dalam aliran kebangsaan.

Ternyata penjajah British sangat memahami dalam kehidupan membina negara. Memberikan hak kepada yang berhak. Malangnya, perkara ini tidak difahami sebegitu oleh sebahagian rakyat negara ini. Mereka merasakan semua hak mereka. Sampai ke tahap hak yang diminta melampau-lampau. Menjadikan sekolah Cina beroperasi secina-cinanya. Lebih Cina daripada Cina di negara China.

Inilah bentuk pembinaan negara dalam negara yang menjadi ancaman kepada pembinaan negara bangsa dalam memartabatkan agenda hidup bernegara, dalam konteks memartabatkan BM. Sekolah dibiayai kerajaan, tetapi kelihatan kerajaan tidak ada kuasa untuk mengubahkan disebabkan oleh desakan yang kuat daripada badan bukan kerajaan.

Lebih malang lagi, dalam soal pembinaan, kerajaan tunduk kepada desakan politik dan kepentingan politik, seolah-olah boleh dijualbeli. Ada perkiraan undi, untung dan rugi. Ada unsur percaturan kuasa, tawar-menawar. Sedangkan pembinaan negara memerlukan kepada penegasan.

Contoh, isu Kementerian Pendidikan mahu kuatkuasakan jawi enam muka surat di Sekolah Kebangsaan dan SJKC, ditentang habis-habisan oleh kumpulan cauvinis dan ekstremis. Sedangkan, sarjana Korea, mencadangkan perjuangan mendaulatkan BM perlu disekalikan dengan pembelajaran jawi. Akibat penentangan ini, kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan kepada tiga mukasurat. Malangnya, tiga mukasurat pun tidak dapat dilaksanakan. Kumpulan ini mahu ianya dihapuskan terus.

Justeru, sudah sampai masanya, meskipun sudah terlambat, kedudukan BM selaku bahasa negara dan agenda negara diangkat setinggi-tingginya dalam proses pembinaan negara.

Dalam membina negara, khususnya dalam mendaulatkan BM, mesti dilakukan dengan segera meskipun sudah terlambat. Gunakan peruntukan kuasa yang ada, sudah termaktub dalam perlembagaan, untuk melaksanakannya. Tidak ada kompromi dalam melaksanakan agenda pembinaan negara. Pembinaan negara dalam negara yang digerakkan oleh kumpulan tertentu, hendaklah segera diambil tindakan sebelum terlambat. Jika tidak, kita akan terus gagal dan gagal, meskipun telah merdeka 65 tahun. Alasan lapok bahawa pembinaan negara memerlukan masa dan proses panjang tidak dapat diterima lagi.

Cuba hayati lirik Lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ yang begitu mendalam maknanya. Jiwa bermaksud “nyawa atau roh”. Manakala, bangsa pula bermaksud, “kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan”. Mengapa bahasa itu dikatakan ‘jiwa’ atau ‘roh’ bangsa? Kenapa BM mesti dikuasai dan dihayati sebagai asas pembinaan negara?
Heraclitus menyatakan bahawa bahasa sangat berkait rapat dengan semua aspek kehidupan manusia. Melalui bahasa, sesuatu masyarakat mempamerkan nilai-nilai dan budaya mereka kepada bangsa lain. Dalam kata lain, BM mencerminkan jati diri rakyat Malaysia sebenar.

Akhirnya, saya berbeza pendapat dengan beberapa sarjana dalam dan luar negara, yang banyak bercakap soal pembinaan negara bagi negara-negara baharu (pernah dijajah/naungan), memerlukan masa yang panjang, untuk mencapai matlamat utama iaitu perpaduan dan kestabilan, terutama apabila berubah daripada negara sebangsa menjadi berbilang bangsa, disebabkan oleh kerencaman yang dibawa, seperti agama, bahasa, budaya dan sebagainya.

Perbezaan yang banyak ini memerlukan masa untuk saling memahami antara satu sama lain. Maka, muncullah pelbagai istilah seperti kesepaduan sosial, penyatupaduan, integrasi, akamodasi, akulturasi, mamakization dan macam-macam lagi, sehingga membawa kepada penolakan asimilasi secara total. Pendapat sebegini tidak banyak berpijak di bumi nyata. Hakikat sebenarnya tidaklah sangat sebegitu.

Membina negara baharu berbilang bangsa tidak serumit seperti yang digambarkan jika ada penegasan sejak dari awal, dan tidak mustahil menjadi lebih mudah daripada negara sebangsa. Sebab itu kita lihat ada negara sebangsa saling berantakan sesama mereka, meskipun ada banyak persamaan, terutama dari segi agama, bahasa dan budaya. Ini mungkin disebabkan mereka sudah menjadi kebal berada dalam zon selesa.

Sebab itu, dalam membina negara berbilang bangsa, soal penegasan sangat penting dalam melaksanakan agenda hidup bernegara, adalah sangat penting. Pembinaan negara melibatkan perkara dasar, seperti kedudukan bahasa negara (bahasa Melayu), mesti dilaksanakan, tanpa kompromi. Mereka yang berhijrah mesti disedardirikan bahawa mereka wajib mengasimilasikan semua dasar itu.

Kata dua hendaklah diberikan, sama ada mahu menerima atau tidak. Jika tidak mahu, tindakan tegas mesti dikenakan. Ini berlaku kepada sebahagian besar negara dunia yang mahu mencapai matlamat pembinaan negara. Contoh terdekat, negara jiran, Indonesia dan Thailand. Jika tidak menerima asimilasi, sekurang-kurang buka sedikit. Jangan tolak secara total, seperti yang berlaku hari ini.

Disebabkan oleh tiada penegasan ini, sifat sedar diri yang sepatutnya ada, telah bertukar menjadi tidak sedar diri. Tidak sedar diri ini membawa kepada keras kepala. Keras kepala ini membawa kepada sikap kurang ajar dan sukar untuk dibentuk lagi.

Ini ditambahkan pula dengan kesantunan dan kemuliaan orang Melayu yang begitu lunak meraikan tetamu (bangsa lain) bersendikan ajaran agama Islam yang menjadi pegangan, sehingga alpa akan pentingnya soal penegasan hidup bernegara.

Keadaan menjadi semakin kompleks apabila nisbah berbilang bangsa menjadai 60-40, kebergantungan terhadap undi untuk mendapat kuasa, mengakibatkan kita terpaksa menggadaikan agenda negara, memperjudikannya dengan undi. Ini menjadikan ada sebahagian menjadi naik kepala dan seterusnya memijak kepala. Sebab itulah, kita seolah-olah dilihat ‘gagal’ memartabatkan bahasa Melayu dalam pembinaan negara. Adalah sesuatu yang agak janggal untuk memartabatkan di peringkat antarabangsa, jika kejayaan tidak dapat dilihat dalam negara itu sendiri.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button