Berita Utama

‘Harap DBP ambil tindakan papan iklan cemar BM’

Agenda nasional bakal tentukan masa depan bahasa Melayu di persada antarabangsa

BANGI, 22 Syawal 1443H, Isnin – Langkah kerajaan untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 perlu didukung semua pihak bagi membolehkan agensi terbabit membuat penguatkuasaan dan pelaksanaan dasar yang sewajarnya.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri wajar disokong untuk melihat Malaysia gagah dengan bahasa kebangsaannya.

Beliau turut mengharapkan supaya Ahli-Ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan atau pembangkang dapat membuat kajian menyeluruh dan serius menjelang pindaan akta itu di Parlimen nanti.

“Janganlah ada yang ambil kesempatan untuk mempolemik dan mempolitikkan usaha ini nanti.

“Ini agenda nasional bersama yang bakal menentukan masa depan bahasa Melayu di persada antarabangsa, insyaAllah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan usaha kerajaan meminda Akta DBP 1959 bagi memberikan lebih kuasa kepada agensi terbabit dalam memastikan bahasa Melayu digunakan secara menyeluruh.

Beliau berkata, banyak nama-nama jalan, papan tanda dan taman perumahan tidak menggunakan bahasa Melayu, sedangkan penggunaannya adalah satu syarat.

“DBP tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan dari segi penyalahgunaan bahasa Melayu. Saya difahamkan Majlis Daerah yang meluluskannya juga tidak ada kuasa.

“Disebabkan itu kita mahu pinda Akta DBP supaya diberikan kuasa dari segi penguatkuasaan dan tindakan undang-undang jika terdapat pelanggaran penggunaan bahasa Melayu,” katanya. 

Melalui pindaan itu nanti, Aminuddin mengharapkan DBP dapat mengambil tindakan ke atas mana-mana papan iklan atau nama jalan yang mencemarkan, tidak melambangkan dan mengabaikan penggunaan bahasa Melayu.

“Selama ini DBP hanyalah sebagai agensi yang mengangkat bahasa Melayu dengan pelbagai aktiviti.

“Tetapi tidak ada kuasa untuk menguatkuasa jika berlaku kesalahan dalam penggunaan bahasa Melayu dengan sengaja, apatah lagi sehingga mencemarkan bahasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button