Berita Utama

Kerajaan henti eksport 3.6 juta ayam mulai 1 Jun

Jagung, hampas isirung jadi alternatif makanan ayam

BANGI, 22 Syawal 1443H, Isnin – Kerajaan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran bekalan makanan itu kembali stabil.

Perkara itu antara beberapa ketetapan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini, sebagai langkah jangka pendek terhadap isu bekalan serta harga ayam di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kabinet turut bersetuju mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensinya.

Beliau berkata, pihaknya turut memansuhkan Approved Permit (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan.

“Mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam.

“Menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat Kabinet turut menerima beberapa pandangan daripada Ahli Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung dan hampas isirung kelapas sawit (PKC) untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam.

Katanya, mesyuarat juga bersetuju meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang.

“MAFI dan KPDNHEP telah diminta membentangkan pelan-pelan tersebut dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung, PKC dan sebagainya.

“Kerajaan turut menggalakkan GLC, agensi kerajaan, Pertubuhan Peladang dan Koperasi untuk terlibat dalam penternakan ayam. Kerajaan akan mengkaji dari segi bantuan kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Katanya, perkara itu sebahagian pelan Jangka Sederhana dan Jangka Panjang yang akan dirangka oleh MAFI serta KPDNHEP.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button