Berita Utama

Kerajaan siasat dakwaan wujud kartel kawal harga ayam

Kurangkan peranan orang tengah yang manipulasi bekalan

BANGI, 22 Syawal 1443H, Isnin – Kerajaan menyedari terdapat laporan wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu sedang disiasat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini.

Beliau berkata, jika didapati wujud kesepakatan kartel berkenaan, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat.

“Kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.

“Pihak kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, ketika ini kerajaan menetapkan harga siling ayam standard pada RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

“Bagaimanapun, pihak kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran.

“Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

“Kerajaan akan memperkenalkan semula jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014.

“Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button