Berita Utama

Kerajaan tak jamin bina lebuh raya baharu selesai isu kesesakan

Jika kenderaan meningkat mungkin jalan sedia ada tak dapat tampung

BANGI, 22 Syawal 1443H, Isnin – Kementerian Kerja Raya sedang meneliti dan meluluskan pembinaan lebuh raya baharu bagi menangani kesesakan yang berlaku di sekitar Lembah Klang.

Pembinaan lebuh raya baharu itu akan mewujudkan laluan alternatif kepada pengguna yang terperangkap dalam kesesakan akibat pertambahan kenderaan.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penelitian itu turut membabitkan cadangan dibuat oleh pihak swasta.

“Mengikut pelan pembangunan rangkaian lebuh raya yang dibangunkan dan dikaji setiap lima tahun, yang perlu ada kalau kita tengok rim basikal itu ialah jejarinya.

“Jadi ini yang perlu kita hubungkan supaya kalau ada kesesakan trafik ini, ada alternatif pindah ke lebuh raya lain. Ini yang sedang dikaji dan keutamaan diberikan kepada perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Kerja Raya, Kompleks Kerja Raya di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Fadillah, pihak kerajaan bagaimanapun tidak dapat memberi jaminan bahawa pembinaan lebuh raya baharu itu dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya.

Katanya, ini disebabkan kadar pertambahan kenderaan di Malaysia yang semakin meningkat.

“Walaupun jalan sudah ada, kalau kenderaan makin meningkat mungkin jalan sedia ada (lebuh raya baharu) tidak dapat menampung.

“Sebab itu di peringkat kerajaan kita buat juga pengangkutan awam seperti MRT, LRT. Ini sebahagiannya untuk memastikan pengangkutan awam menjadi pilihan rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button