Dunia

Kurang bekalan ubat, sistem kesihatan Sri Lanka bakal lumpuh

Banyak prosedur termasuk pembedahan kritikal terpaksa tangguh

COLOMBO, 22 Syawal 1443H, Isnin – Sri Lanka berisiko berdepan pula krisis kesihatan yang serius berikutan kekurangan bekalan ubat akibat kemelut ekonomi di negara itu.

Menurut pegawai kesihatan awam, pihak hospital terpaksa menangguhkan banyak prosedur rawatan pesakit akibat masalah bekalan ubat yang diperlukan.

Sri Lanka mengimport lebih 80 peratus bekalan perubatannya tetapi dengan kehabisan rizab mata wang asing akibat krisis, kebanyakan ubat-ubatan penting tidak dapat dibekalkan, sekali gus membawa sistem penjagaan kesihatan hampir lumpuh.

Di hospital kanser di Colombo, banyak ujian dan prosedur utama termasuk pembedahan kritikal terpaksa ditangguh akibat kekurangan bekalan perubatan.

“Keadaan itu sangat buruk untuk pesakit kanser.

“Kadang-kadang, pada waktu kami merancang untuk beberapa prosedur pembedahan, tetapi ia tidak dapat dilakukan kerana bekalan tidak ada,” kata Dr Roshan Amaratunga.

Beliau berkata, keadaan itu diumpamakan seperti pesakit sedang menanti hukuman mati sekiranya masalah bekalan ini tidak ditangani segera.

Menurut sumber kerajaan, kira-kira 180 barangan utama perubatan sudah kehabisan termasuk suntikan untuk pesakit dialisis dan ubat kanser tertentu.

Katanya, India, Jepun dan penderma pelbagai hala sedang membantu menyediakan bekalan, namun ia masih mengambil masa sehingga empat bulan untuk ia tiba di negara itu.

Sri Lanka sedang bergelut dengan krisis ekonomi paling dahsyat sejak kemerdekaan pada 1948. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button