Berita Utama

Majlis Negarawan BERJASA tampil solusi hadapi isu besar negara

'Check and balance' kepada dasar dan keputusan kerajaan

BANGI, 22 Syawal 1443H, Isnin – BERJASA mengambil inisiatif menubuhkan majlis tindakan bersama dinamakan Majlis Negarawan BERJASA sebagai saluran untuk mencurahkan sumbangan idea, tenaga dan buah fikiran.

Majlis itu dipengerusikan oleh Abdul Aziz Sardan dan dianggotai 10 tokoh daripada pelbagai latar belakang mencakupi bidang pendidikan, ekonomi, rakyat, dasar luar negara, sosial, alam sekitar, pertahanan, sekuriti makanan, teknologi dan data sains.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, BERJASA amat yakin serta percaya dengan penubuhan itu bakal memberi nafas baharu dalam menampilkan solusi terhadap
isu besar negara seterusnya membantu parti mengetengahkan dasar-dasar dan polisi-polisi yang wibawa serta mampan untuk kepentingan rakyat.

“Majlis ini akan menjadi ‘check and balance’ kepada dasar dan keputusan kerajaan.

“Selain itu, Majlis Negarawan BERJASA juga bakal menyediakan pasukan profesional, berpengalaman dan berkepakaran tinggi untuk parti BERJASA bagi menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ustaz Zamani memaklumkan bahawa BERJASA menerima permohonan pendaftaran kemasukan ahli baharu yang cukup memberangsangkan dalam tempoh masa beberapa bulan kebelakangan ini.

Beliau mendedahkan sebilangan besar daripada keahlian yang diterima merupakan barisan tokoh berpengaruh yang terdiri daripada kalangan ahli akademik, bekas ketua pengarah jabatan kerajaan dan aktivis politik.

“Penyertaan tokoh-tokoh ini merupakan satu tanda sokongan yang amat jitu terhadap agenda perjuangan besar BERJASA selaras dengan identiti BERJASA iaitu parti kepimpinan baharu yang bercita-cita untuk membangun Malaysia sebagai sebuah negara unggul dan bermaruah.

“BERJASA amat yakin serta percaya ramai dalam kalangan tokoh-tokoh besar yang menyertai relung perjuangan ini adalah mereka yang ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan bagi membantu merealisasikan wajah baharu dalam landskap politik negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button