Berita UtamaIstimewa

Mohon gugur LTTE: Siapa dalang?

Pertubuhan yang guna keganasan, cara gerila bagi capai tujuan

BANGI, 22 Syawal 1443H, Isnin – Permohonan untuk menggugurkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) daripada senarai pengganas berkemungkinan didalangi pemimpin politik tertentu.

Sebelum ini, seorang pemandu teksi dilaporkan memfail permohonan untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi menggugurkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas.

Permohonan yang difailkan V Balamurugan pada 13 Mei lalu turut mengemukakan lima persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan.

Menyifatkan permohonan itu dangkal, mantan Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy tidak menolak kemungkinan ada pihak yang berada di belakangnya bagi tujuan politik.

“LTTE adalah sebuah pertubuhan yang menggunakan keganasan dan cara gerila bagi mencapai tujuan politik mereka.

“LTTE juga telah menubuhkan Transnational Government of Tamil Eelam (TGTE) bagi diaspora Tamil yang berada di luar Sri Lanka termasuk Malaysia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Di Malaysia, Ustaz Shuhaib berkata, LTTE berselindung di sebalik aktiviti parti politik tertentu bagi menjalankan kegiatan mereka.

“Mereka menzahirkan sokongan secara terbuka dalam acara, majlis, perarakan dan lain-lain.

“Antara majlis yang dilakukan adalah memperingati pahlawan yang terkorban dalam perjuangan LTTE dikenali sebagai Maaveeran Thiran iaitu penyembahan senjata AK-47,” katanya.

Justeru, beliau menggesa rakyat Malaysia supaya menolak sebarang usaha dan langkah provokasi bagi menggugat keamanan serta keselamatan negara.

Pada 17 September 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan Balamurugan untuk membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan LTTE sebagai pengganas di negara ini.

Namun, dia gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan yang menolaknya pada 14 April lepas.

Lelaki berkenaan memohon suatu pengisytiharan atau deklarasi butiran mengenai LTTE dalam perintah tersebut tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai, manakala kemasukan butiran mengenai LTTE adalah batal dan tidak sah yang ia adalah ultra vires atau melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

Pemandu teksi itu menamakan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Berita berkaitan;

Pemandu teksi rayu keluarkan LTTE daripada senarai pengganas

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button