Berita UtamaDunia

Rakyat Iran protes harga barangan melambung tinggi, subsidi dipotong

Protes didorong kesusahan ekonomi, bukannya pembangkang politik

TEHRAN, 22 Syawal 1443H, Isnin – Iran telah digemparkan dengan protes dalam beberapa minggu kebelakangan ini terhadap krisis ekonomi yang diburukkan lagi oleh pemotongan subsidi yang menyaksikan harga barangan asas melambung tinggi.

Menurut sumber tidak rasmi dan maklumat yang disiarkan di rangkaian sosial, sekurang-kurangnya lima orang telah terbunuh setakat ini dalam protes di seluruh negara ketika polis antirusuhan dikerahkan di seluruh negara untuk meredakan kekacauan.

Sementara itu, kerajaan Iran telah memutuskan internet di beberapa kawasan dan bandar yang menyaksikan protes termasuk wilayah Khouzestan.

Bulan lalu, kerajaan Iran yang diketuai oleh presiden yang baharu dipilih, Ebrahim Raisi mengisytiharkan bahawa ia telah memutuskan untuk memotong dan menamatkan subsidi untuk gandum serta tepung, memanggilnya sebagai ‘pembedahan ekonomi’.

Ini telah menyebabkan kenaikan harga yang tidak pernah berlaku sebelum ini sebanyak 300 peratus untuk pelbagai jenis makanan ruji berasaskan tepung di negara itu.

Hampir separuh daripada 85 juta penduduk negara itu berada di bawah garis kemiskinan.

Kerajaan berhujah bahawa kenaikan harga adalah kerana krisis gandum global yang dicetuskan oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine. 

Kedua-dua negara adalah antara pengeluar dan pengeksport terbesar gandum, jagung serta minyak masak.

Menurut laman web rasmi kerajaan, pentadbiran Raisi terpaksa memotong subsidi gandum dan tepung kerana ramai orang tengah membeli tepung bersubsidi daripada perniagaan industri tempatan dengan lebihan untuk menyeludup ke luar negara serta mengaut keuntungan besar.

Selama lebih dua minggu, beribu-ribu orang telah mengambil bahagian dalam protes kebanyakannya di kawasan barat, termasuk wilayah Khouzestan dan Chaharmahal Bakhtiari, dan bandar-bandar Boroujerd di wilayah Lorestan, dan Dehdasht di wilayah Kohgiluyeh dan Boyer-Ahmad.

Beberapa perhimpunan juga telah dilaporkan di beberapa bandar di wilayah tengah Esfahan dan wilayah timur Khorasan Razavi. 

Tetapi titik tumpuan pertempuran dan protes adalah di bandar Izeh, Dezful dan Andimeshk di wilayah Khouzestan.

Penganalisis yang bercakap dengan Middle East Eye berkata, bantahan itu adalah akibat yang tidak dapat dielakkan berikutan krisis melanda golongan miskin.

“Orang yang tinggal di Tehran dan bandar-bandar besar masih mampu menahan kesusahan ekonomi baharu, tetapi di kampung-kampung dan pekan-pekan kecil tidak ada cara untuk mendapatkan lebih banyak wang untuk mengatasi kesukaran baharu itu,” kata seorang ahli sosiologi Iran kepada MEE dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

“Jadi orang ramai tidak ada jalan kecuali bangkit kerana mereka tidak mempunyai pendapatan atau simpanan yang mencukupi. Protes ini didorong oleh kesusahan ekonomi dan bukannya pembangkang politik. Penunjuk perasaan lapar,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button