Berita Utama

Isu bekalan ayam: MTEM gesa wujudkan Lembaga Unggas

Nafas perlu diberi mandat utama selesai masalah bekalan ayam

BANGI, 23 Syawal 1443H, Selasa – Sebuah Lembaga Unggas perlu ditubuhkan untuk mengimbangi keperluan pengguna dan pengusaha atau pengeluar ayam serta telur.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin berkata, ia sebagai usaha untuk tidak meminggirkan semua pemegang taruh khususnya pengusaha penternak ayam dan telur berskala kecil yang kebanyakan terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera. 

Malah, katanya, lembaga ini juga boleh memastikan harga ayam yang sepatutnya tanpa meletakkan harga siling apabila ia dapat mengimbangi jumlah bilangan ayam import, bilangan keluaran berskala kecil dan bilangan keluaran yang berskala besar. 

“Ini akan memastikan industri dapat bertahan dan rakyat tidak tertekan dgn permainan nakal orang tengah. Pasaran tidak lagi dikawal oleh kartel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, MTEM juga menyambut baik jihad memerangi orang tengah yang akan dipelopori oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) termasuklah arahan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk terlibat sama menggembleng usaha menangani krisis makanan.

Selari dengan ketetapan Kabinet, MTEM dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mencadangkan Nafas diberikan kuasa serta sokongan sebagai GLC utama dalam sektor keselamatan.

“Sebagaimana Petronas menjadi pemain utama dalam sektor minyak dan gas, begitu jugalah Nafas dalam sektor keselamatan dan kedaulatan makanan khususnya unggas (poultry) seperti penghasilan ayam, itik dan sebagainya di mana pemain industri di bawahnya akan diberi ruang untuk terlibat sama,” katanya.

Beliau menegaskan, hakikatnya ayam adalah bahan makanan isi rumah yang bekalannya datang dari sektor penternakan.

“Hargahya lebih dipengaruhi kuasa pasaran (flex-price); harga siling dan kawalan bekalan akan meningkatkan kos pengeluaran. 

“Penternak dapati harga makanan ayam melambung naik menjadikan harga siling tidak kompetitif. 

“Oleh itu subsidi perlu diberi pada punca peningkatan kos yakni input makanan ayam sama ada jagung atau apa sahaja alternatif sebagaimana yang dicadangkan Kabinet. Jika tidak intervensi kerajaan akan gagal,” katanya

Selain itu, katanya, lesen import (AP) untuk semua ini perlu ditutup semula sejurus selepas krisis ini berakhir dan hanya GLC seperti Nafas diberi permit tunggal atau utama.

Tegasnya, Nafas perlu diberi mandat untuk menerajui pelbagai inisiatif termasuk melakukan pelaburan strategik, di mana ia juga akan dikawal oleh Lembaga Unggas yang baru.

“Kita berharap ketetapan Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri dengan perincian yang halus dengan objektif yang jelas serta penambahbaikan yang kami cadangkan boleh dilaksanakan dan menunjukkan hasil dengan kadar segera. 

“Jika tidak, bekalan ayam dan makanan bukan sahaja berkurang tapi akan menjadi mahal setelah pengeluar tempatan tidak lagi mampu mengeluarkan hasil,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button