Berita Utama

JPA perlu teliti tindakan korektif pihak ambil mudah pekeliling berkait bahasa Melayu

Gerakan memperkasa bahasa Melayu sentiasa diberi keutamaan

KUALA LUMPUR, 23 Syawal 1443H, Selasa – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu meneliti tindakan korektif serta punitif yang boleh dikenakan terhadap pihak yang sengaja mengambil mudah arahan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 iaitu Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata ini kerana dalam perkhidmatan awam, gerakan memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam kalangan agensi dan penjawat awam sentiasa diberi keutamaan paling tinggi.

“Pekeliling ini tidak hanya memperincikan peranan agensi dan penjawat awam dalam urusan rasmi dalam negara dan luar negara, bahkan turut menyatakan komitmen tinggi kerajaan untuk menguatkuasakan pemantauan pelaksanaannya melalui audit bahasa.

“Namun, sebenarnya jika kita teliti, pelaksanaan audit sahaja tidak memadai. Ini kerana tiada tindakan yang boleh diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mematuhi arahan ini selain mereka mungkin kurang berminat terhadap usaha pengiktirafan dan anugerah diperkenalkan bagi tujuan pemerkasaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.

Beliau berkata ia bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan tetapi bagi memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dicabul penggunaannya dengan sewenang-wenangnya.

“Hal ini selaras dengan amanat disampaikan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pada majlis pembukaan simposium ini pada Ahad lepas… Perdana Menteri menyatakan agar pindaan Akta DBP hendaklah diperkasakan bagi membolehkan aspek penguatkuasaan undang-undang berkaitan usaha pemartabatan bahasa Melayu dikaji dan diteliti untuk dilaksanakan,” katanya.

Mohd Zuki berkata ini kerana akta, pekeliling atau peraturan sedia ada tidak memperuntukkan tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi arahan berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan itu.

Beliau turut mengingatkan setiap jabatan kerajaan di semua peringkat Persekutuan mahupun negeri termasuk badan-badan berkanun, harus memastikan segala arahan dan peraturan terkandung dalam perlembagaan, undang-undang negeri dan pekeliling berkaitan bahasa Melayu sentiasa dipatuhi.

“Ini termasuklah di peringkat pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah…peraturan-peraturan berkaitan pengiklanan yang memperuntukkan ketetapan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di tempat awam hendaklah dilaksana dan dikuat kuasa dengan lebih tegas.

“Begitu juga dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat jaminan kerajaan (CLBG), mereka hendaklah memastikan usaha memartabatkan bahasa Melayu sentiasa diperteguhkan,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan akan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa bagi menegaskan komitmen dalam memastikan keutamaan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam sentiasa pada tahap terbaik.

“…sekali gus akan melipatgandakan usaha menjadikan perkhidmatan awam Malaysia sebagai suri teladan pengguna bahasa kebangsaan yang baik dan betul kepada sektor lain,” kata Mohd Zuki.

Menyentuh insiatif memantapkan pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu, beliau berkata antara program masa kini yang akan dipergiat dan ditambah baik dari semasa ke semasa adalah Audit Bahasa di setiap jabatan kerajaan dan badan berkanun, serta program Munsyi Muda Bahasa yang akan berperanan sebagai pegawai rujukan bahasa di setiap jabatan kerajaan Persekutuan.

Bagi memperhebat peluasan penggunaan bahasa kebangsaan itu di peringkat antarabangsa, beliau mencadangkan agar institusi pengajian tinggi dan badan berautoriti mengambil inisiatif melaksanakan semula Kursi Pengajian Melayu di benua terpilih. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button