Berita Utama

Kerajaan salur RM20.5 juta kepada murabbi ummah di Wilayah Persekutuan

Kerajaan sentiasa hargai usaha dilakukan oleh para murabbi ummah

PUTRAJAYA, 23 Syawal 1443H, Selasa – Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan kewangan berjumlah RM20.5 juta kepada imam, bilal, siak, guru takmir serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata murabbi ummah Wilayah Persekutuan turut menerima bayaran khas RM500 secara sekali beri yang telah disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri lepas.

“Kerajaan sentiasa menghargai usaha-usaha yang telah dilakukan oleh para murabbi ummah sekalian dalam menyebarkan ilmu dan kefahaman Islam kepada masyarakat,” katanya kepada media selepas menghadiri Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 2022, di sini hari ini.

Idris berkata caruman kerajaan sebanyak RM232.80 seorang bagi Pakej Program Perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga diteruskan kepada imam, bilal, siak dan guru takmir Wilayah Persekutuan melibatkan 681 orang dengan jumlah peruntukan RM158,536 setahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah keseluruhan peruntukan kewangan bagi imam, bilal, siak dan guru takmir adalah sebanyak RM3.39 juta.

Idris berkata peruntukan bagi imbuhan 150 imam membabitkan jumlah RM1.53 juta dan elaun 126 guru takmir dengan peruntukan RM1.36 juta, telah disalurkan pada 7 Jan bagi agihan suku pertama dan 14 April lepas bagi agihan suku kedua tahun ini.

Beliau berkata jumlah peruntukan elaun 1,200 guru KAFA pula adalah sebanyak RM16.51 juta manakala bayaran bantuan khas tahun 2022 kepada guru berkenaan berjumlah RM600,000.

Katanya bermula Januari lepas, guru KAFA wanita yang bersalin layak diberikan cuti bersalin sebanyak 60 hari dengan dibayar elaun berbanding sebelum ini, mereka hanya diberikan cuti bersalin tanpa layak dibayar elaun.

Sementara itu, ditanya adakah kerajaan bercadang mengkaji kenaikan elaun yang diberikan kepada imam, bilal, siak dan guru takmir seiring dengan kenaikan kos sara hidup, Idris berkata perkara itu bergantung kepada kewangan kerajaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button