Berita Utama

Kes rasul Melayu: Mahkamah Sivil putuskan tindakan JAIS tak sah

Mahkamah Sivil turut batalkan peruntukan dalam enakmen syariah Selangor

BANGI, 23 Syawal 1443H, Selasa – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki yang pernah mendakwa dirinya rasul Melayu pada tahun 2020 adalah menyalahi undang-undang.

Mahkamah Sivil itu turut membatalkan peruntukan dalam Enakmen Syariah Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah negeri untuk mengenakan ikat jamin kepada individu yang disyaki, lapor Malaysiakini, hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Noorin Badaruddin membuat keputusan tersebut pada 14 April tahun ini apabila membenarkan Abdul Kahar Ahmad dan 13 yang lain mencabar penahanan mereka oleh pihak berkuasa Islam negeri pada malam 20 September 2020.

Sebelum ini, Harian Metro dan Berita Harian melaporkan bahawa JAIS menahan Abdul Kahar, 70, dan beberapa yang lain di tiga lokasi berasingan di Selangor pada tarikh tersebut atas dakwaan menghidupkan semula ajaran rasul Melayu.

Harian Metro turut melaporkan Mahkamah Syariah Shah Alam membebaskan Abdul Kahar dan tiga pengikutnya dengan ikat jamin.

Pada 24 September 2009, Abdul Kahar mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas lima pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1985 berhubung ajaran sesat rasul Melayu.

Tertuduh yang ketika itu berusia 62 tahun kemudian dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan kerana menyebarkan ajaran sesat.

Pada tahun 2016 semasa Majlis Istitabah yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Abdul Kahar memohon taubat secara terbuka kerana mengisytiharkan dirinya sebagai nabi.

Selepas dibebaskan daripada tahanan pada 2020, Abdul Kahar dan 13 yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Sivil untuk mencabar kesahihan penahanan mereka, dengan sebahagian daripada mereka hanya dibebaskan selepas 99 hari ditahan.

Mereka tidak pernah didakwa di Mahkamah Syariah atas sebarang kesalahan yang dikaitkan dengan serbuan pada September 2020 oleh JAIS.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu mereka menamakan Jais, ketua pengarahnya, ketua pegawai Penguatkuasa Agama Islam Selangor, hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam Masnizar @ Mohd Nizar Mohtar, kerajaan negeri dan hakim Mahkamah Syariah Rendah Shah Alam Shanizah Ngatiman, sebagai responden pertama, kedua, ketiga, keempat kelima dan keenam.

Menurut salinan perintah mahkamah yang dilihat oleh Malaysiakini, Mahkamah Sivil itu mendapati responden pertama hingga keempat telah menahan Abdul Kahar dan 13 yang lain secara salah antara 21 September dan 28 Disember 2020.

Hakim memutuskan bahawa Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 adalah tidak sah kerana melanggar hak Perlembagaan untuk kebebasan dan kesaksamaan di bawah undang-undang yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Kahar dan pemohon lain dibebaskan dengan ikat jamin oleh Mahkamah Syariah di bawah peruntukan tersebut, walaupun mereka tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan.

Noorin memutuskan JAIS dan kerajaan Selangor perlu membayar ganti rugi sebanyak RM10,000 setiap seorang kepada Abdul Kahar dan 13 pemohon sebagai pampasan.

Kesemua 14 individu yang memohon semakan kehakiman itu memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung isu pampasan berkenaan.

Sementara itu, kesemua keenam-enam responden membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan hakim mahkamah tinggi.

Peguam Ameerul Aizat Noor Haslan mewakili Abdul Kahar dan 13 yang lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button