Berita Utama

Pinda akta DBP mampu daulatkan semula penggunaan bahasa Melayu

Jangan ada lagi bahasa rojak yang cemarkan imej bahasa Melayu

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Syawal 1443H, Selasa – Langkah kerajaan untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 diharap dapat mendaulatkan semula penggunaan bahasa Melayu di kedudukan yang sewajarnya.

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM) Datuk Abdul Raouf Husin berkata, selama ini tiada pihak yang yang bertanggungjawab untuk membetulkan kerosakan bahasa Melayu selain dianggap lemah.

“Sekarang DBP hanya mampu melihat kerana tiada kuasa mandatori untuk betulkan kesalahan dalam penggunaan bahasa Melayu.

“Kuasa itu hanya terletak kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) namun, sayangnya PBT sendiri tidak mampu melakukan sesuatu memandangkan banyak lagi perkara yang perlu difikirkan.

“Jadi kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air sendiri, perlu meletakkan bahasa Melayu di kedudukan yang tepat bersesuaian dengan kedudukan bahasa kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berhasrat untuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberikan lebih kuasa kepada agensi terbabit.

Tindakan itu juga adalah bagi memastikan bahasa Melayu digunakan secara menyeluruh.

Abdul Raouf berharap, melalui pindaan tersebut, tiada lagi penggunaan bahasa rojak yang mencemarkan imej bahasa Melayu di negara ini.

Selain itu, beliau menyifatkan kuasa mandatori terhadap DBP perlu diberikan sejak dahulu lagi dalam membetulkan kesalahan dalam penggunaan bahasa Melayu.

Katanya, usaha murni tersebut diyakini mampu membuahkan usaha sekiranya semua pihak berganding bahu menjayakannya.

Malah, perkara ini tidak mustahil kerana terbukti berjaya dilakukan sebelum ini pada 1971 ketika Datuk Rahman Yaakob memegang jawatan Menteri Pendidikan.

Beliau ketika itu mengumumkan penggunaan bahasa Melayu digunakan di semua peringkat bermula sekolah rendah dan menengah.

Malah, pada tahun 1982, penggunaan bahasa Melayu diselaraskan penggunaannya di semua universiti-universiti dalam negara.

“Ternyata usaha itu membuahkan hasil sekaligus meletakkan kedudukan bahasa melayu di peringkat yang tepat selain memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” jelas beliau.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana rakyat mahu berbahasa Melayu dengan fasih sekiranya pemimpin sendiri tidak menjadi contoh dan kekal menggunakan rojak di Parlimen.

Justeru, pindaan akta perlu disegerakan supaya ‘pencemaran’ dalam penggunaan bahasa Melayu dalam negara dapat diatasi secara tuntas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button