Berita Utama

Segerakan permohonan subsidi penternak ayam

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan mempermudah dan mempercepatkan proses tuntutan

PUTRAJAYA, 23 Syawal 1443H, Selasa – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan menghantar lebih ramai pegawainya ke peringkat negeri bagi mempercepatkan bayaran subsidi kepada penternak ayam dalam usaha meningkatkan pengeluaran domestik.

Dalam kenyataan, MAFI memaklumkan setakat ini hanya RM50 juta subsidi telah dibayar walaupun sebanyak RM729.43 juta subsidi disediakan di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia sejak 5 Feb lepas, selaras penetapan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 per kilogram.

Perkara sama turut disebut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

“Semua penternak yang memenuhi syarat diminta untuk kemukakan permohonan supaya tuntutan dapat disalurkan dalam tempoh yang telah dijanjikan,” tegas kementerian itu.

Keputusan ini antara yang dicapai dalam sesi libat urus Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, semalam, bersama 12 pemain industri dan persatuan penternak antaranya Leong Hup Poultry Farm Sdn Bhd, HLRB Broiler Farm Sdn Bhd, PWF Corporation Bhd dan Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor.

Kementerian itu berkata, bagi merancakkan lagi aktiviti pengeluar makanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) juga akan terus mempermudah dan mempercepatkan proses tuntutan subsidi penternak ayam.

Menurut MAFI pihak industri yang terlibat dalam sesi libat urus turut menyatakan komitmen untuk terus membekalkan ayam bagi keperluan pasaran tempatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button