Berita Utama

Selangor bekalkan 10,000 ayam sehari mulai 1 Jun

Kerajaan negeri akan sediakan dana untuk pastikan bekalan sentiasa ada

BANGI, 23 Syawal 1443H, Selasa – Sebanyak 10,000 ekor ayam sehari akan dibekalkan kerajaan Selangor bagi menampung permintaan di pasaran bermula 1 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, ayam itu akan dibekalkan menerusi Program Intervensi Ehsan yang telah dilaksanakan pada Februari lalu sehingga Hari Raya Aidil Adha depan.

Inisiatif itu adalah kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), dengan pembukaan sebanyak 67 cawangan di seluruh negeri.

“Kita ada 67 cawangan di seluruh negeri Selangor dengan pengeluaran sebanyak 4,000 ekor ayam sehari. 

“Namun kita akan meningkatkan pengeluaran ayam kepada 10,000 ekor ayam mentah sehari, perkara itu masih dalam proses dan di peringkat akhir perbincangan.

“Ia bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran sekarang ini, dan inisiatif itu akan bermula 1 Jun ini sehingga Aidil Adha nanti,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Izham berkata, kerajaan negeri akan menyediakan dana untuk memastikan bekalan ayam sentiasa ada dan dijual mengikut harga pasaran.

Antara insiatif lain yang akan dilaksanakan adalah menerusi tindakan pengeluar ayam membaiki benih-benih makanan dan juga baka ayam.

“Selain itu, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menjadi integrasi untuk ternak dan bantu isu masalah ayam ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button