Berita UtamaDunia

Tentera Israel kata tiada unsur jenayah dalam penembakan wartawan Al-Jazeera

Peguam bela tentera mahu periksa peluru dikeluar dari badan wartawan

BAITULMAQDIS, 23 Syawal 1443H, Selasa – Tentera Israel berkata, jika seorang daripadanya melepaskan tembakan hingga membunuh wartawan Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh, tentera itu tidak bersalah atas kesalahan jenayah.

“Memandangkan Shireen Abu Akleh terbunuh di tengah-tengah zon tempur yang aktif, tidak ada kecurigaan segera terhadap aktiviti jenayah tanpa bukti lanjut,” kata satu kenyataan yang memetik peguam bela tentera, Yifat Tomer-Yerushalmi.

Tomer-Yerushalmi akan bertanggungjawab untuk menentukan sama ada mana-mana tentera akan menghadapi tindakan tatatertib berhubung kejadian tembakan maut pasa 11 Mei semasa pertempuran di Jenin yang diduduki di Tebing Barat.

Beliau mendakwa bahawa Israel belum tahu sama ada Shireen Abu Akleh, seorang Palestin-Amerika, terbunuh oleh tembakan peluru sesat Palestin atau oleh peluru Israel yang ditujukan kepada seorang warga Palestin.

“Tentera sedang mengambil segala usaha untuk meneliti keadaan kejadian untuk memahami bagaimana Shireen Abu Akleh dibunuh,” kata kenyataan itu.

Al-Jazeera yang berpangkalan di Qatar menyatakan Israel membunuh Shireen Abu Akleh dengan sengaja.

Tomer-Yerushalmi menyatakan sekali lagi permintaan Israel untuk memeriksa peluru yang dikeluarkan dari badan wartawan itu. Peluru itu kini berada dalam pegangan Pihak Berkuasa Palestin.

“Ketidakupayaan untuk memeriksa peluru, yang dipegang oleh Pihak Berkuasa Palestin terus menimbulkan keraguan tentang keadaan kematian Shireen Abu Akleh,” kata kenyataan itu lagi.

Tentera pengganas Israel berkata, ia menumpukan perhatian kepada satu insiden di mana seorang askar Israel menggunakan ‘skop teleskopik’ menembak ke arah ‘lelaki bersenjata Palestin’.

Lelaki bersenjata itu ‘hampir’ dengan Shireen Abu Akleh, kata tentera, sambil menambah bahawa ia mahu membandingkan peluru dengan senjata yang dilepaskan dalam insiden itu.

Israel telah menawarkan untuk menjalankan pemeriksaan balistik dengan kehadiran pakar Palestin dan Amerika.

Mengikut prosedur, Tomer-Yerushalmi memutuskan langkah seterusnya dalam siasatan tentera berdasarkan penemuan awal, yang dikenali sebagai siasatan komander.

“Keputusan muktamad sama ada siasatan jenayah akan dilancarkan hanya akan dibuat selepas fakta lanjut daripada siasatan operasi (tentera) dan sumber lain tersedia,” kata kenyataan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button