Berita Utama

60,000 kemuka rayuan haji

Pemilihan dahulukan rayuan mahram sebelum dibuka ikut giliran

BANGI, 24 Syawal 1443H, Rabu – Kira-kira 60,00 individu membuat rayuan untuk melaksanakan ibadah haji tahun ini – dan dijangka 1,000 akan dipilih susulan terdapat jemaah yang terpaksa menolak atas pelbagai faktor.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pemilihan akan didahulukan untuk rayuan mahram.

“Pihak kami tiada masalah untuk mengisi kekosongan itu berikutan setakat ini ada 60,000 rayuan.

“Namun pemilihan akan didahulukan untuk rayuan mahram dan barulah diberikan kepada mereka yang dalam giliran,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan lebih 1,000 bakal jemaah haji Malaysia yang menerima tawaran mengerjakan ibadah itu bagi musim 2022, menolak panggilan disebabkan pelbagai faktor termasuk masalah kesihatan.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, Tabung Haji akan memberikan maklumat mengenai butiran penerbangan dan lapor diri di stesen berlepas secara berperingkat mulai pada minggu depan.

Penerbangan pertama dijangka pada 4 Jun manakala terakhir pula adalah pada 2 Julai.

“Jadual itu diperoleh selepas Malaysia mendapat kelulusan penerbangan daripada Suruhanjaya Penerbangan Arab Saudi (GACA).

“Malaysia Airlines Berhad dan Saudia Airlines ditugaskan membawa semua 14,306 bakal jemaah menerusi kuota masing-masing sebanyak 50 peratus,” katanya.

Katanya, sebanyak 340 petugas haji termasuk kakitangan perubatan dijadualkan bertugas dan berlepas ke tanah suci bermula 28 Mei bagi membuat persediaan menyambut kumpulan pertama jemaah haji.

Kuota haji Malaysia bagi musim 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan peratusan sama terpakai kepada semua negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button