Berita Utama

Ada peniaga jual ayam melebihi harga siling

Terpaksa naikkan harga berikutan kekurangan bekalan

KUALA LUMPUR,24 Syawal 1443H, Rabu – Terdapat peniaga yang menjual ayam melebihi harga siling berikutan kekurangan bekalan ayam, namun ia masih boleh dibeli pada harga serendah RM6.99 sekilogram di pasaran.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan peniaga menjual ayam bulat pada harga RM8.90 sekilogram seperti yang ditetapkan kerajaan.

Berdasarkan kemas kini harga harian di aplikasi Price Catcher oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga ayam bulat standard dijual sekitar RM6.99 sehingga RM9.50 sekilogram, manakala ayam bulat super dijual sekitar RM7.90 ke RM10.90 sekilogram di ibu negara, setakat semalam.

Harga terendah di Lotus’s Selayang iaitu RM6.99 sekilo, manakala beberapa premis pula menjualnya pada harga RM8.90 sekilogram antaranya Mydin (Sinar Kota), Pasaraya Ong Tai Kim (Sentul), Pasar Pudu, NSK Trade City (Jalan Peel) dan Pasar Batu 5.

Aplikasi berkenaan menyediakan harga terendah dan tertinggi berdasarkan tinjauan KPDNHEP dalam masa tiga bulan dan boleh ditetapkan mengikut radius kawasan.

Di KELANTAN, peniaga, Hafiz Mustapa, 34, berkata dia terpaksa menaikkan harga RM2 bagi seekor ayam berbanding harga kebiasaan yang dijualnya berikutan kekurangan bekalan sejak tiga hari lepas.

“Sebelum ini saya dapat bekalan 50 ekor ayam sehari dengan harga sekitar RM10 hingga RM11 seekor, namun sekarang saya mendapat hanya 20 ekor pada harga RM12 seekor,” katanya.

Di PERAK, tinjauan mendapati harga ayam standard di kedai dan pasar basah sekitar Ipoh meningkat sehingga RM9.30 sekilogram semalam berbanding RM8.30 sekilogram.

Seorang peniaga Muhammad Qusyairi, 30 berkata isu kekurangan bekalan ayam menyebabkan harga ayam semakin tinggi.

Di SELANGOR tinjauan di beberapa lokasi mendapati ayam habis dijual dengan harga antara RM8.90 dan RM10.50 sekilogram.

Manakala di PAHANG dan MELAKA, tinjauan mendapati ayam dijual pada harga ditetapkan, namun terdapat peniaga mengenakan caj tambahan bagi khidmat memotong ayam pada kadar 60 sen hingga RM1 sekilogram.

Sementara itu, di JOHOR, NEGERI SEMBILAN, TERENGGANU dan KEDAH, bekalan ayam boleh didapati di pasar awam dan pasar raya pada harga ditetapkan kerajaan.

Di SABAH, ayam masih dijual mengikut harga kawalan sekitar RM11 sekilogram, sementara harga bagi ayam mengikut bahagian berharga antara RM11 dan RM14 sekilogram.

Harga siling ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan ditentukan mengikut lokasi.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga siling ayam pada kadar RM8.90 sekilogram di Semenanjung dengan subsidi sebanyak RM729.43 juta disediakan di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia sejak 5 Februari lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button