Belum ada kes cacar monyet di Malaysia setakat ini
Waris kanak-kanak tular dinasihat segera jalani pemeriksaan jika benar
BANGI, 24 Syawal 1443H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes jangkitan cacar monyet di Malaysia setakat ini.
Ini termasuk kes kanak-kanak yang didakwa dijangkiti virus cacar monyet seperti dalam mesej berserta gambar ditular di media sosial, kata KKM.
Bagaimanapun, sekiranya gambar berkenaan adalah benar, kementerian meminta waris kanak-kanak terbabit untuk segera membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan.
“Sehingga 24 Mei 2022 jam 5 petang, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes yang dijangkiti virus monkeypox atau kes kanak-kanak dikatakan dijangkiti virus monkeypox seperti dalam mesej berserta gambar yang ditularkan dalam media sosial.
“Sekiranya gambar tersebut adalah benar, waris kepada kanak-kanak tersebut dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, KKM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan berita tidak diketahui kesahihannya, sebaliknya mengingatkan pesakit atau waris untuk mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu jika berkaitan penyakit atau lain-lain masalah kesihatan.