Berita Utama

Demi survival bangsa, institusi politik Melayu perlu berunding

Wajib dilaksanakan semua kelompok pemegang taruh Melayu

BANGI, 24 Syawal 1443H, Rabu – Rundingan secara tertutup atas dasar prinsip persaudaraan dan muhibah membabitkan semua institusi politik bangsa Melayu perlu diadakan segera.

Ia supaya mengutamakan agenda pemerkasaan dan keutuhan bangsa dan berpolitik sesama mereka dengan cara lebih bersaudara serta berbudi bahasa.

Perkara itu dinyatakan pada sidang meja bulat Seruan Penyatuan Bangsa bertemakan ‘Berjihad Demi Survival Bangsa’ dianjurkan Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Itu antara lima ketetapan untuk diangkat sebagai tindakan yang wajib dilaksanakan semua kelompok pemegang taruh Melayu demi perjuangan jihad survival bangsa itu.

Moderatornya yang juga Ketua Sektor Politik Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM), Datuk Wan Ahmad Wan Omar turut menjelaskan bahawa usaha mendekati Raja-Raja Melayu perlu dilakukan supaya dapat menyuarakan pandangan rakyat.

“Ia bagi melindungi kedaulatan semua institusi kerajaan yang diterajui mereka (Raja-Raja Melayu), selaras dan konsisten dengan peruntukan Perlembagaan yang dimeterai pada 5 Ogos 1957,” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Pada masa sama, katanya sistem penyampaian kerajaan, pentadbiran awam dan korporat perlu diperkemaskan lagi selain usaha mengatasi kepincangan yang berlaku dengan segera dan berkesan.

Menerusi sidang meja bulat berkenaan, MPM turut diberi mandat untuk menubuhkan pelbagai pasukan petugas bagi setiap isu atau permasalahan yang hendak ditangani.

Katanya perkara tersebut adalah penting bagi melakukan dan menghasilkan dapatan berkala atau ‘review’ (penilaian) kemajuan daripada semua usaha berkaitan pencapaian jihad ini untuk dikongsi dengan semua berkenaan.

Tegas beliau, setiap kemerosotan tidak boleh ditudingkan jari kepada hanya sesetengah pihak.

“Namun beberapa gejala songsang yang mencemari keberkesanan tadbir urus dan integriti yang selama ini memperlihatkan kecemerlangan adalah tanda kerosakan pelbagai tindakan.

“Kelemahan itu hanya dapat dibanteras dengan tindakan berjihad tanpa kompromi,”katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button