Berita Utama

Semarak aktiviti pertanian, penternakan tangani isu keselamatan makanan: Presiden ISMA

Hapus secara mutlak amalan monopoli dalam industri makanan

BANGI, 24 Syawal 1443H, Rabu – Langkah kerajaan menghapuskan permit import (AP) terhadap bekalan makanan, penegasan harga siling dan larangan sementara mengeksport ayam hanyalah penyelesaian jangka pendek bagi sebahagian masalah.

Justeru, tidak mustahil akan timbul masalah lain pula pada masa hadapan jika hanya langkah berkenaan diambil, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.

Atas dasar itu, beliau mencadangkan beberapa langkah jangka panjang dalam menangani kebimbangan terhadap isu keselamatan makanan negara yang dilihat tidak menentu dan di luar jangka sejak kebelakangan ini.

“Pertamanya, negara perlu kembali menyemarakkan aktiviti pertanian dan penternakan. Bukan setakat ayam dan lain-lain makanan asasi, tetapi juga berkaitan dengannya seperti dedak dan jagung.

“Kebergantungan kepada sumber luar dalam mana-mana rantaian penghasilan makanan tidak akan menjadikan kita bebas dalam mengawal bekalan dan harga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jika semua sumber asli makanan dan rantaiannya adalah dalam negara, maka kawalannya juga akan menjadi lebih baik kerana itulah faktor penting dalam menjamin keselamatan makanan.

Ustaz Muhammad Fauzi turut mencadangkan penghapusan secara mutlak sebarang bentuk monopoli di dalam industri makanan negara.

Tegasnya, amalan monopoli subur dalam dunia kapitalis terutamanya apabila kuasa berpusat kepada satu lingkaran manusia tertentu.

“Monopoli dilarang secara tegas di dalam Islam kerana kemudaratannya kepada masyarakat, tetapi dunia hari ini menjelmakan monopoli di dalam pelbagai bentuk dan menjadi satu yang bersistem.

“Kerana nak menjamin monopoli sentiasa absah itulah akhirnya disalahkan ayam yang kononnya lambat membesar dan ayam yang kononnya kurang selera makan sebagai alasan kenapa bekalan terputus,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan langkah imbangan antara kawalan harga siling dan kebebasan kepada penternak serta peladang untuk meletakkan harga supaya saksama untuk semua pihak.

“Jika negara tidak dapat mengawal faktor luaran yang menaikkan harga makanan, maka beban itu perlu diurus dengan baik agar tidak ditanggung hanya oleh satu pihak sahaja.

“Ketidakpuasan hari dalam isu harga ayam masing-masing di pihak pembekal dan pengguna menunjukkan ia perlu diselesaikan dengan saksama dan seimbang mengambil kepentingan semua pihak,” katanya.

Mengakui cadangan ini mungkin paling tidak popular, beliau menyarankan semua pihak untuk kembali kepada kehidupan asas yang ringkas tanpa kebergantungan dengan makanan import.

“Dahulu kita pernah menjadikan sagu sebagai makanan asas, rumbia boleh ditanam oleh sesiapa dan menghasilkan sagu juga adalah proses yang mudah.

“Kita boleh hidup dengan sayur tepi rumah dan ikan dalam parit. Kebergantungan kepada luar semakin tinggi dalam penyediaan makanan harian kita menyebabkan kita berdepan dengan banyak masalah di luar kawalan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button