
BANGI, 25 Syawal 1443H, Khamis – Seorang kanak-kanak yang tular kerana didakwa dijangkiti virus cacar monyet baru-baru ini, disahkan mengalami penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak berusia tiga tahun itu telah dibawa ke Klinik Kesihatan Batu 14, Selangor untuk membuat pemeriksaan kerana mengalami gejala demam pada 13 Mei dan ruam pada 16 Mei lalu.
Beliau berkata, ruam berkenaan kemudian menjadi ‘blister’ pada 19 Mei dan mula pecah pada 21 Mei lalu.
“Diagnosa awal kanak-kanak ini adalah HFMD. Kanak-kanak ini kemudiannya dipantau di Hospital Kuala Lumpur oleh pakar pediatrik.
“Dua sampel telah diambil di mana Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah membuat pengujian beberapa jenis virus termasuk untuk HFMD dan Monkeypox,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, keputusan ujian itu mengesahkan kes kanak-kanak terbabit adalah HFMD kerana positif Virus Coxsackie A6 dan negatif Monkeypox serta lain-lain virus yang diuji.
Sebelum ini, KKM mengesahkan tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes jangkitan cacar monyet di Malaysia, susulan tular mesej berserta gambar kanak-kanak yang didakwa dijangkiti virus itu.
Bagaimanapun, KKM meminta waris kanak-kanak terbabit untuk segera membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan sekiranya gambar tular berkenaan adalah benar.
Berita berkaitan;