Burqa: Penyampai berita lelaki pakai pelitup muka hitam tanda protes
Desak Taliban tarik balik dekri yang wajibkan burqa

KABUL,25 Syawal 1443H, Khamis – Beberapa saat sebelum membacakan berita, penyampai televisyen lelaki Afghanistan, Nisar Nabil mengenakan penutup muka berwarna hitam sebagai simbol protes terhadap arahan Taliban.
Tindakan itu sebagai tanda sokongan rakan sekerja wanita yang diarahkan menutup seluruh bahagian muka dan kepala ketika bersiaran.
“Ketika siaran berita langsung atau program politik kami akan memakai pelitup muka sebagai protes,” katanya selepas menyampaikan buletin di studio saluran TOLOnews, di Kabul.
Sejak Taliban mengambil alih pentadbiran, pelbagai arahan dikeluarkan terutama golongan wanita dan kanak-kanak perlu mengikut landasan syariat Islam.
Terbaharu, pemimpin utama Taliban, Hibatullah Akhundzada mengeluarkan dekri dengan mengarahkan semua wanita menutup kepala dan bahagian muka sepanjang berada di kawasan awam.
Arahan sama turut dikuat kuasa kepada penyampai berita wanita sepanjang bertugas dan kebanyakan mereka membantah..
Kini semua penyampai berita lelaki turut memakai pelitup muka berwarna hitam ketika bergandingan dengan rakan setugas wanita.
“Taliban mahu memberi tekanan kepada media. Mereka mahu petugas media berfungsi mengikut rancangan mereka,” katanya.
Perkara sama juga berlaku kepada penyampai berita di saluran 1TV yang turut mengenakan pelitup muka berwarna hitam ketika bersiaran.
Justeru, Ketua Pengarang 1TV, Idrees Faroqi berharap pentadbiran Taliban menyemak semula dan menarik balik arahan yang dikeluarkan berikutan berdepan kesukaran sepanjang mengendalikan program secara langsung dalam tempoh masa yang panjang. – Agensi
Berita berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/05/22/penyampai-tv-ingkar-arahan-taliban-tak-pakai-burqa/